suria

Dua penjawat awam mengaku tidak bersalah terima suapan

MELAKA: Seorang penguasa kastam dan seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan berasingan menerima suapan wang tunai pada tahun lepas.

Yong Yoke Liang, 53, yang bertugas di Bahagian Perkhidmatan Teknik, Jabatan Kastam Diraja Melaka dituduh menerima suapan RM3,000 daripada Teh Kim Tin, di Lorong Singa, Jalan Bukti Baru pada 30 April 2008.

Dia dituduh menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan kompaun ke atas cukai jualan kastam bernilai lebih RM20,000 yang perlu dibayar oleh Syarikat Ines Art Design yang dimiliki oleh Teh.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin menetapkan 28 dan 29 Okt ini sebagai tarikh perbicaraan. Yong diwakili peguam Shaari Nor.

Sementara itu, Sarjan Mejar Zulkaflee Razak, 54, yang bertugas di Balai Polis Kesang, Jasin dituduh menerima suapan RM250 daripada peniaga besi buruk, Lim Chin Chye di sebuah kabin di Kesang Pajak pada 7 Mei 2008.

Hakim Ahmad Kamar menetapkan 15 Sept ini sebagai tarikh perbicaraan. Zulkaflee diwakili peguam Azrul Stork Abdullah.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Fazlin Hamdan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). BERNAMA

Artikel Lain