suria

MCA gerak jentera bantu kemenangan BN di Manek Urai

KOTA BAHARU: MCA telah menggerakkan jentera pilihan raya parti itu untuk membantu misi Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditetapkan pada 14 Julai.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata dalam tempoh itu pemimpin MCA akan turun padang untuk menjelaskan isu semasa, walaupun pengundi Cina di kawasan itu tidak ramai. "Di Manek Urai kita ada 50 pengundi kaum Cina tapi kerja kita bukan sahaja kepada Cina tapi kepada seluruh penduduk Manik Urai," kata Ng, yang juga Pengerusi MCA Kelantan, kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pasar Siti Khadijah di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan turut mengadakan perjumpaan dengan industri pelancongan Kelantan di pejabat Majlis Tindakan Pelancongan Kelantan (MTPN).

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MTPN Datuk Abdul Aziz Derashid, Pengurus Besar MTPN, Sulaiman Ismail dan Pengarah Tourism Kelantan, Muhammad Zaki Talib. Ng berkata beliau juga mengadakan mesyuarat dengan MCA Kelantan serta MCA Bahagian Kuala Krai untuk bersamasama menjalankan gerakan mendapatkan kembali sokongan rakyat bagi merampas kerusi DUN Manik Urai yang pernah dimenangi BN pada pilihan raya umum 2004.

Pilihan raya kecil Manek Urai itu diadakan ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana serangan sakit jantung. Allahyarham yang mewakili PAS mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 6 Julai manakala pengundian pada 14 Julai, jika ada pertandingan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain