suria

Orang awam buat laporan polis terhadap MB Selangor

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ekoran kenyataannya menyokong tindakan pihak tertentu mengadakan perhimpunan haram di negara ini.

Azwanddin Hamzah, 36, dari Ampang dekat sini, membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi di sini kira-kira 4.30 petang tadi.

Katanya beliau rasa terpanggil untuk membuat laporan polis itu berikutan perhimpunan haram boleh menjejaskan ketenteraman awam.

"Bagi saya perhimpunan haram ini salah dan sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita harus menjaga keharmonian negara.

"Saya sebagai orang awam rasa tergugat dan risau jika ada pemimpin besar yang mengemukakan kenyataan sebegitu kerana ia akan mempengaruhi pemikiran rakyat terutama golong muda," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, akhbar Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Abdul Khalid bahawa kerajaan Selangor menyokong tindakan pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan haram di negara ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain