suria

Kayveas hantar dokumen kepada ROS esok

IPOH: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas akan menghantar beberapa dokumen bagi melengkapkan laporan tahunan parti itu ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) esok.

Beliau berkata dokumen itu akan dihantar selepas mendapati beberapa dokumen telah hilang ketika melakukan pemeriksaan dengan ROS pada minggu lepas dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu.

"Kita akan menggantikan dengan dokumen yang baru...Ada pihak ketiga telah keluarkan dokumen sedia ada sebagai satu usaha untuk mensabotaj parti.

"Saya boleh menyelesaikan masalah dokumen itu dalam masa beberapa jam dan boleh menghantar terus sekiranya tidak sibuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PPP Perak di Bukit Kinding di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa akaun dan laporan tahunan parti berkenaan tidak dikemaskini sejak 2002.

Kayveas mendakwa perbuatan menghilangkan beberapa dokumen itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu sematamata untuk memberi gambaran buruk terhadap parti.

Katanya kehilangan dokumen itu dikesan selepas menghantar setiausaha untuk membuat semakan di pebajat Ros ekoran parti memecat orang tertentu dalam PPP.

"Ini (dokumen tidak lengkap) bukan satu perkara yang serius hingga ROS mahu batalkan pertubuhan kerana ROS tidak akan membatalkan pertubuhan sewenangwenangnya," katanya.

Beliau berkata PPP wujud sejak 1953 dan ia mempunyai dokumen yang lengkap di ROS serta PPP bukan satu parti baru.

"Isu (dokumen yang tidak lengkap) ini ditimbulkan oleh anggota yang kena pecat dan tidak bertanggungjawab. Mereka ini kalau sayang parti dan setia kepada parti tidak akan memburukkan parti," katanya.

Kayveas berkata ROS mewajibkan semua pertubuhan sama ada politik dan badan bukan kerajaan menghantar dokumen dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat agung dan sekiranya gagal berbuat demikian, ROS akan memaklumkan supaya dokumen itu perlu dihantar dalam tempoh dua bulan.

Katanya beliau juga telah menjelaskan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi berhubung isu pelantikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah sebagai presiden baru PPP dalam satu mesyuarat agung luar biasa Ahad lepas. BERNAMA

Artikel Lain