suria

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat didakwa tipu RM10 juta

PETALING JAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembekalan minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan membuat surat akujanji palsu bagi menipu syarikat pembeli melibatkan lebih RM10 juta, dua tahun lepas.

Noorizan Shukor, 59, dari Oriental Petroleum Sdn Bhd didakwa telah membuat surat akujanji palsu kepada syarikat Cito Marketing (M) Sdn Bhd berkaitan pembekalan 'Petronas Diesel' bagi mendorong syarikat itu mendepositkan wang RM10,320,750 ke dalam syarikat Oriental Petroleum Sdn Bhd.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cito Marketing (M) Sdn Bhd di No 11, Jalan SS 15/4b, Subang Jaya, antara 28 Mei dan 22 Jun 2007.

Tuduhan adalah mengikut Seksyen 366(1)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, di tempat dan masa yang sama, dia didakwa menipu wang RM10,320,750 yang dibayar oleh syarikat Cito Marketing (M) Sdn Bhd ke dalam akaun Syarikat Oriental Petroleum Sdn Bhd.

Untuk kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Aziez Khan Mohd Fadzil, menawarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela M.Stanislaus Vethanagayam, yang mewakili Noorizan, memohon agar mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin yang lebih rendah kerana anak guamnya telah diisytiharkan muflis.

Beliau juga berkata anak guamnya yang tidak mendapat apaapa manfaat daripada dakwaan penipuan RM10 juta tersebut selain telah memberikan kerjasama yang baik kepada polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sepanjang siasatan.

Noorizan yang diberi peluang oleh Hakim Balqis Aini Mohd Ali untuk bercakap, berkata bahawa dia telah dianiayai kerana sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sememangnya dia bertanggungjawab untuk menandatangani dokumen yang diserahkan kepadanya.

Dia memohon kepada mahkamah agar menerima caruman KWSP suaminya berjumlah RM95,000 sebagai wang jaminan.

Balqis Aini menetapkan ikat jamin sebanyak RM25,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 17 Jun untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain