suria

SMS ugutan: Tempoh berakhir esok Ramzi belum temui polis

PETALING JAYA: Polis Terengganu memberi masa hingga esok kepada Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle berkata, tempoh tiga hari yang diberikan kepada Ahmad Ramzi bermula kelmarin akan berakhir esok.

Namun setakat hari ini pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh itu.

"Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa maklum balas daripada beliau mahu pun daripada ahli keluarganya.

"Jika masih tiada apa-apa maklum balas sehingga esok, kita akan mengeluarkan waran tangkap," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jumaat lalu, polis Terengganu memberikan tempoh tiga hari kepada Ahmad Ramzi supaya tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga ADUN BN negeri itu bulan lalu, selepas usaha mengesan beliau gagal.

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata, pihak polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahmad Ramzi sekiranya beliau gagal berbuat demikian.

Pada 13 April lalu, ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid; Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka, dipercayai berhubung desas-desus pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Artikel Lain