suria

Najib: 9 lesen baru bank, insurans dikeluar menjelang 2011

PENTING... Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menekankan sesuatu ketika sidang akhbar di Putrajaya tengah hari mengumumkan langkah susulan liberalisasi. Turut hadir Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (tiga dari kiri). -- fotoBERNAMA
PENTING...  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menekankan sesuatu ketika sidang akhbar di Putrajaya tengah hari mengumumkan langkah susulan liberalisasi. Turut hadir Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (tiga dari kiri). -- fotoBERNAMA
PENTING... Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menekankan sesuatu ketika sidang akhbar di Putrajaya tengah hari mengumumkan langkah susulan liberalisasi. Turut hadir Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (tiga dari kiri). -- fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Sembilan lesen perbankan dan insurans baru kepada peserta industri kewangan yang kukuh dan bertaraf dunia akan dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun mulai sekarang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Ia merupakan langkah liberalisasi tambahan - susulan diumumkan minggu lalu.

Najib berkata, langkah-langkah liberalisasi berkenaan adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan perubahan struktur dalam ekonomi dan mempelbagaikan sumber pertumbuhan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Tahun ini sehingga dua lesen perbankan Islam baru kepada peserta asing untuk menubuhkan bank-bank Islam baru dengan modal berbayar sekurang-kurangnya AS$1 bilion akan diberikan, kata beliau.

Selain itu, dalam tahun 2009 juga dua lesen perbankan perdagangan baru akan ditawarkan kepada peserta asing yang akan membawa kepakaran khusus.

KENYATAAN MEDIA PM MENGENAI LIBERALISASI SEKTOR KEWANGAN

Dalam pada itu, pada 2011 sehingga tiga lesen perbankan perdagangan baru akan ditawarkan kepada bank-bank bertaraf dunia yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia.

"Selain itu, dalam tahun 2009 juga, dua lesen takaful keluarga baru akan diberikan," kata beliau pada sidang media mengumumkan liberalisasi sektor kewangan di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kelonggaran akan diberikan bagi meningkatkan had ekuiti asing bank pelaburan, bank Islam, syarikat insuran dan pengendali takaful daripada 49 peratus kepada 70 peratus.

Najib berkata, hubungan ini akan memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing.

"Had pegangan ekuiti asing bagi bank perdagangan domestik tetap kekal pada tahap 30 peratus," katanya.

Katanya, melalui teras pakej liberalisasi ini juga, kerajaan memberi lebih fleksibiliti kepada institusi kewangan asing yang beroperasi di Malaysia untuk memperluas jangkauan produk dan perkhidmatan kewangan terutamanya melalui pembukaan cawangan baru.

Keadaan ini katanya, adalah bagi mencapai akses yang lebih meluas dalam memberikan perkhidmatan kewangan dan meningkatkan penembusan insurans dalam negeri.

"Bank-bank perdagangan asing yang diperbadankan di Malaysia akan dibenarkan untuk membuka empat cawangan baru dalam tahun 2010 dan 10 cawangan pembiayaan mikro pada tahun ini," katanya.

Najib juga berkata lebih banyak fleksibiliti akan diberikan kepada peserta luar pesisir Labuan.

"Berkuat kuasa pada 1 Jun 2009, Syarikat Induk Labuan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990 akan diberikan fleksibiliti untuk menubuhkan pejabat operasi dan pengurusan di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kecekapan operasi dan perniagaan mereka.

"Inisiatif ini akan membolehkan Syarikat Induk Labuan menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dan cekap," katanya.

Jelas beliau lagi, bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih fleksibel dari segi pengendalian, institusi perbankan luar pesisir yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Labuan (LOFSA) yang memenuhi kriteria akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri mulai tahun 2010.

Malah syarikat insurans luar persisir yang dilesenkan oleh LOFSA dan memenuhi kriteria juga akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri mulai tahun 2011.

Dalam pada itu lebih fleksibiliti juga akan diberikan untuk mengambil pekerja ekspatriat dalam bidang-bidang kepakaran yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan.

Artikel Lain