suria

Syor penalti ke atas ADUN dan MP letak jawatan tanpa sebab munasabah

KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan Kedah mencadangkan penalti RM50,000 bagi anggota dewan undangan negeri dan RM100,000 bagi anggota parlimen yang melepaskan jawatan tanpa sebab munasabah.

Bagaimanapun, jika peletakan jawatan itu atas alasan bagi mendapat mandat baru daripada pengundi bagi ADUN terbabit untuk menyertai parti gabungan, penalti itu perlu dikurangkan separuh, kata Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Katanya pergerakan itu juga mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa peruntukan sedia ada dalam Artikel 48 (6) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan di dalam perlembagaan negeri bagi menolak kelayakan seseorang wakil rakyat untuk tempoh lima tahun tidak digunapakai ke atas mereka yang ingin mendapatkan mandat baru dari pengundi untuk menyertai mana-mana parti gabungan.

"Cadangan pindaan ke atas undang-undang pilihan raya sedia ada telah dikemukakan kepada SPR Jumaat lepas," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam cadangan itu, beliau berkata Gerakan juga menegaskan bahawa peruntukan yang ada bagi sesetengah keadaan tidak komprehensif kerana ia tidak menghukum wakil rakyat yang melepaskan jawatan tanpa sebab yang munasabah.

"Ia juga tidak menjamin bahawa parti yang diwakili wakil rakyat itu akan dipertanggungjawabkan atas peletakan jawatan itu dan (pindaan) ini akan menjadikan parti itu lebih berhati-hati semasa memilih calon pada masa depan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain