suria

Pengarah didenda RM10,000 guna perisian cetak rompak

KUALA LUMPUR: Akibat menggunakan perisian cetak rompak bagi kegunaan syarikat pengiklanannya, seorang pengarah didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman tersebut setelah Nor Zailam Hasan, 44, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, dan jika gagal membayar denda beliau akan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.

Nor Zailam didakwa memiliki bagi apaapa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik tiga unit salinan langgaran (software @ perisian cetak rompak) karya sastera dalam bentuk program komputer di dalam dua unit komputer.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di ACICC Malaysia, 302B & 302C, Lorong Perak, Melawati Square Business Centre, Taman Melawati, 51300, Kuala Lumpur.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan dihukum mengikut Seksyen 41 (1)(i) Akta Hakcipta 2003 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali. Terdahulu Peguambela Zambri Ibrahim yang mewakili Nor Zailam dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap anak guamnya kerana pengakuan bersalah Nor Zailam nyata telah menjimatkan masa dan kos mahkamah kerana lebih 20 saksi akan dipanggil ke mahkamah jika anak guamnya masih tidak mengaku bersalah.

Beliau berkata anak guamnya juga telah pun membayar ganti rugi sebanyak RM98,000 kepada syarikat Business Software Alience Sdn Bhd, yang merupakan pemilik perisian tersebut di Malaysia.

Pendakwaaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Hamzah. BERNAMA

Artikel Lain