suria

PPSMI: Nik Aziz jelas sebab PAS sertai protes, Hisham kata demo bukan cara

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pembabitan pembangkang dalam demonstrasi anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) bukan bertujuan mengambil kesempatan tetapi kerana mempunyai pandangan sama terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, disebabkan kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan GMP mempunyai aliran yang sama maka berlakulah demonstrasi itu secara serentak.

"Ya lah, aliran pemikiran serupa, mana ada manusia yang cintakan bahasa tidak mahu masukkan ilmu Sains dan Matermatik dalam bahasa Melayu, kami pembangkang juga setuju," katanya ketika diminta mengulas penglibatan PAS dalam demonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI di ibu negara Sabtu lepas.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demonstrasi itu diadakan kerana kerajaan tidak mempeduli bantahan yang dibuat oleh orang ramai berhubung isu PPSMI.

Beliau menyifatkan kerajaan tidak memahami dengan kehendak pejuang bahasa yang mahu bahasa Melayu diutamakan sehingga sanggup menuduh GMP diperalatkan pembangkang.

Dua hari lepas, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI pada Sabtu jelas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu.

Semalam, Hishammuddin menegaskan bahawa demonstrasi bukan merupakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan sesuatu isu berkaitan dasar pelajaran termasuk PPSMI.

Hishammuddin berkata, walaupun PPSMI sudah berada di peringkat terakhir untuk diputuskan jemaah menteri, beliau masih lagi besikap terbuka untuk mendengar maklum balas dari mana-mana pihak.

"Cuma yang saya harapkan sangat dalam hal pendidikan ialah agar jangan kita politikkan isu kerana ia menyentuh tentang kepentingan dan masa depan anakanak kita," katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata, beliau menghormati tujuan pihak yang menganjurkan perhimpunan itu termasuk dari kalangan tokoh bahasa dan sastera dalam usaha mereka mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi beliau berpendapat ia telah dipengaruhi oleh pihak pembangkang.

"Saya percaya pihak parti pembangkang selama ini telah mengambil kesempatan dengan menjadikan isu ini (PPSMI) sebagai platform bagi mengelirukan rakyat sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Saya sedar bahawa mereka telah mengambil kesempatan terhadap niat ikhlas kumpulan pejuang bahasa ini dan menggunakan peluang yang ada dengan apa cara sekalipun bagi meraih sokongan politik tanpa mempedulikan kesan dan natijahnya kepada keharmonian dan kesejahteraan negara," katanya.

Hishammuddin menegaskan, kerajaan tidak pernah bertolak ansur dalam agenda memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pelbagai pendekatan.

Artikel Lain