Kugan mati di lokap akibat hentakan benda tumpul - Semasa | mStar

Kugan mati di lokap akibat hentakan benda tumpul

KUALA LUMPUR: Keputusan bedah siasat kedua kematian A. Kugan, semasa dalam tahanan polis, menunjukkan suspek kes curi kenderaan mewah itu mengalami 45 kesan kecederaan akibat hentakan benda tumpul secara berterusan pada beberapa bahagian badan.

Peguam keluarga mendiang, N. Surendran berkata, kematian Kugan adalah berpunca daripada kecederaan pada tisu otot di samping kecederaan lain termasuk di bahagian hati, buah pinggang, perut, leher, tulang belakang dan bahagian kaki.

Laporan bedah siasat kedua itu, yang dijalankan oleh pakar patologi Dr. Prashant N. Samberkar, dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), diterima peguam keluarga Kugan pada pukul 5 petang semalam.

"Pendarahan teruk dikesan dalam tisu lemak dan otot di bahagian atas dan bawah badan, kedua-kedua bahagian kaki dan tangan dan hasil bedah siasat adalah konsisten dengan kecederaan di permukaan luaran," kata Surendran pada sidang media di sini hari ini.

Keluarga mendiang turut menghadiri sidang media itu.

"Rhabdomyolysis merupakan penguraian otot rangka badan akibat kerosakan otot.

"Kerosakan itu mungkin disebabkan secara fizikal iaitu kecederaan akibat ditekan dengan kuat, kimia atau faktor biologi," katanya.

Surendran berkata, beliau akan menyerahkan laporan bedah siasat itu kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di pejabatnya hari ini.

Kugan, 23, meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada 20 Januari lepas.

Beliau ditahan reman sejak 15 Januari bagi membantu siasatan kes samun dan curi kereta mewah.

Bedah siasat kedua itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati keluarga Kugan terhadap hasil bedah siasat pertama di Hospital Serdang pada 21 Januari lalu yang mendapati punca kematiannya akibat paru-paru berair.

Sementara itu, bapa mendiang, G. Ananthan, 46, berasa lega setelah dengan keputusan bedah siasat kedua anak lelakinya itu dan berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematiannya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

Artikel Lain