suria

Tuanku Mizan dukacita sikap, perilaku Ahli Parlimen

ANGGOTA BARU... Kakitangan Parlimen menyusun papan tanda nama anggota Dewan Rakyat yang baru, Mohd. Abdul Wahid Endut pagi tadi. Beliau memenangi kerusi dalam pilihan raya kecil bulan lalu. - foto The Star
ANGGOTA BARU... Kakitangan Parlimen menyusun papan tanda nama anggota Dewan Rakyat yang baru, Mohd. Abdul Wahid Endut pagi tadi. Beliau memenangi kerusi dalam pilihan raya kecil bulan lalu. - foto The Star
ANGGOTA BARU... Kakitangan Parlimen menyusun papan tanda nama anggota Dewan Rakyat yang baru, Mohd. Abdul Wahid Endut pagi tadi. Beliau memenangi kerusi dalam pilihan raya kecil bulan lalu. - foto The Star

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini melahirkan rasa dukacita terhadap sikap dan perilaku yang tidak sepatutnya dilakukan di kalangan Ahli Parlimen pada sesi persidangan yang lepas.

Baginda bertitah perilaku kurang baik yang ditonjolkan oleh sesetengah Anggota Parlimen semasa sesi persidangan memberi imej negatif bukan sahaja kepada wakil rakyat itu sendiri malahan ia turut memberi impak kepada negara.

"Beta ingin mengingatkan sekali lagi supaya Ahliahli Yang Berhormat dapat menunjukkan perilaku yang terpuji dalam dewan yang mulia ini, sehubungan ini, semua Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematuhi dan menghormati peraturanperaturan Dewan," titah baginda ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Dalam titah ucapan itu, baginda turut menyeru semua golongan rakyat tanpa mengira fahaman politik supaya berganding bahu dan saling bekerjasama demi memajukan negara ini.

"Semua pihak termasuk parti-parti politik perlu menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan serta tidak melakukan apa jua tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan pembangunan ekonomi negara, " titah baginda.

Bagaimanapun, Seri Paduka merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bakal menyerahkan kepimpinannya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bulan depan.

"Beta merakamkan penghargaan kepada Mamanda Perdana Menteri di atas kepimpinan dan segala sumbangannya terutama dalam isuisu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

"Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan," titah baginda.

Pada sesi perasmian hari ini, hampir semua Anggota Parlimen hadir termasuk Abdullah dan Najib.

Anggota Parlimen dari parti pembangkang termasuk Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh turut hadir tetapi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada di dalam dewan ketika ucapan perasmian kerana beliau berada di luar negara.

Terdahulu, ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di pekarangan bangunan Parlimen disambut Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah "Hormat Diraja" sebelum lagu NegaraKu dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi.

Ia disusuli dengan kibaran Bendera Diraja yang disertai tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi, diketuai oleh Mejar Norhisham Kamar.

Selepas memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke Peterana Diraja dan menerima sembah "Hormat Diraja" kali kedua sebelum lagu NegaraKu dimainkan.

Baginda kemudian diiringi oleh Abdullah dan isteri memasuki Bangunan Parlimen.

Tepat 10.40 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan baginda kemudian memasuki galeri Dewan Rakyat dengan diiringi Pandikar Amin.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada baginda bagi merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-12.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula hari ini dan berakhir 19 Mac.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain