suria

Polis rampas 121 pucuk senjata api tiruan

KUALA LUMPUR: Polis merampas 121 pucuk senjata api tiruan yang dijual di sebuah premis menjual pelbagai barangan plastik dan perabot di Kelana Jaya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pengurus di kedai itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada pukul 4 petang semalam.

"Senjata api ini dijual dengan harga yang sangat murah dari serendah RM3.30 sehingga RM50 setiap satu bergantung kepada saiznya," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata senjata api tiruan yang dijual secara berleluasa itu menjadi pilihan penjenayah terutama dalam menjalankan jenayah samun kerana ia menyerupai senjata api sebenar.

Arjunaidi berkata siasatan awal polis mendapati kedai berkenaan baru dua bulan menjalankan kegiatan menjual senjata api tiruan dan polis kini menyiasat sumber barangan itu diperoleh.

"Kami akan menjalankan pemeriksaan terhadap premis lain yang turut menjual senjata api tiruan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain