suria

MIC sudah ada calon tanding Bukit Selambau

PEKAN: MIC telah menyenaraipendek beberapa nama untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau yang akan diumumkan apabila tiba masanya.

Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata mengikut tradisi, kerusi DUN itu diperuntukkan kepada MIC tetapi kalau ada cadangan atau keputusan lain, mestilah dibincangkan pada peringkat kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya di Kilang Vacuumschmelze (M) Sdn Bhd di sini, hari ini, katanya jika dilihat dari segi tradisi, peluang untuk bertanding kerusi berkenaan sepatutnya diberikan kepada MIC namun pada masa sekarang terutamanya sebelum pemilihan calon, pelbagai permintaan akan diutarakan.

"Kita memang akan tuntut hak kita mengikut apa yang sudah jadi tradisi," kata beliau yang juga Menteri Sumber Manusia.

Sekiranya tradisi itu tidak dikekalkan, beliau menyifatkan perubahan itu sebagai satu perkara yang tidak baik dalam hubungan jentera BN.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau akan diadakan berikutan wakil rakyatnya V.Arumugan daripada PKR meletakkan jawatan pada Ahad lepas.

"Biasanya ia (tradisi) dikekalkan...apa-apa perubahan dalam hal ini satu perkara yang tidak baik dalam perhubungan jentera BN, ini satu bahagian saja, bukan satu negeri jadi saya tidak mahu ia dijadikan satu isu besar," katanya.

Apa yang paling penting katanya, kemenangan harus berpihak kepada BN baik kerusi Bukit Selambau mahu pun Bukit Gantang, Perak yang turut akan menghadapi pilihan raya kecil berikutan kematian anggota Parlimennya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada Isnin lepas akibat sakit jantung.

"Yang paling mustahak adalah BN menang di kedua-dua kerusi, jadi kita akan bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan itu," kata Dr Subramaniam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain