suria

Komponen BN perlu patuh keputusan pemilihan calon - Najib

KUCHING: Kesemua 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) mesti akur dengan keputusan pucuk pimpinan mengenai calon yang dipilih untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil yang bakal diadakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata perbezaan pendapat akan berlaku mengenai calon yang dipilih kerana setiap parti komponen yang terlibat merasakan wakil masing-masing mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

"Ini bukan perkara baru, lebih-lebih lagi jika kawasan itu mempunyai pengundi pelbagai bangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan di bawah pakej rangsangan ekonomi negara 2009 bagi sekolah bantuan kerajaan mubaligh negeri Sarawak dan Sabah di sini hari ini.

Najib, yang sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak, diminta mengulas mengenai pilihan raya kecil yang bakal diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (BN) Kedah kawasan Bukit Selambau ekoran peletakan jawatan penyandangnya V.Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan juga bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak setelah wakil rakyatnya Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia Isnin lepas.

Bagi kerusi Bukit Selambau, pemimpin-pemimpin akar umbi Umno mahu kerusi itu, yang sebelum ini ditandingi oleh MIC, diberikan kepada parti itu memandangkan kawasan berkenaan mempunyai lebih ramai pengundi Melayu.

Ketika ditanya sama ada BN bersedia menghadapi dua pilihan raya secara serentak, Timbalan Perdana Menteri berkata jentera pilihan raya BN mampu bergerak pada bila-bila masa.

Mengenai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada 4 November tahun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan RM7 bilion dalam pakej itu telah diagihkan.

Katanya peruntukan itu kini dikendalikan oleh kementerian-kementerian yang akan melaksanakan projek bagi menggiatkan ekonomi yang lembab akibat krisis ekonomi global. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ulama bantah penganjuran Musawah

Artikel Berikut

Artikel Lain