suria

Krisis Perak: Karpal sedia bertemu Anwar

GEORGE TOWN: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung krisis politik di Perak.

"Saya bersedia untuk menemui Anwar, keadaan yang tidak adil di Perak adalah penting kepada DAP sebab parti ini menguasai kerusi terbanyak di negeri (Perak).

"DAP memegang 17 daripada 28 kerusi dikuasai Pakatan Rakyat dan kekuatan kami adalah di Dewan Undangan Negeri.

"Apa yang saya mahu memastikan ialah kerajaan Pakatan Rakyat dikembalikan," katanya.

Hari ini Karpal berkata, beliau bercakap atas kapasiti sebagai seorang Ahli Parlimen.

Ketika ditanya sama ada beliau ada menerima panggilan telefon daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Karpal berkata, "Tidak."

Semalam, Anwar menganggap kenyataan Karpal terhadapnya dan beberapa pemimpin DAP adalah bersifat peribadi dan tidak akan memecahbelahkan parti gabungan PKR-DAP-PAS. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata kenyataan Karpal itu ekoran tindakannya tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin DAP itu untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah berikutan titah baginda supaya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Pemimpin de facto Pakatan Rakyat itu juga menafikan dakwaan Karpal bahawa beliau mempelopori budaya melompat parti dalam Pakatan Rakyat.

Karpal dalam sidang akhbarnya di Pulau Pinang semalam mendakwa Anwar tidak layak memimpin Pakatan Rakyat kerana mempromosi budaya lompat parti dan telah menyebabkan porak peranda dalam DAP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain