suria

Sedutan sidang akhbar Zambry sempena majlis rasmi pertama

BERIKUT intipati sidang akhbar pertama Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Gerakan Perak di Kg Simee, Ipoh pagi tadi.

SOALAN: Datuk Seri Nizar mendakwa pelantikan Menteri Besar baru adalah haram?

ZAMBRY: Jawapan saya adalah adakah beliau menganggap (jawatan) beliau itu sah?

SOALAN: Ada yang mengatakan yang Nizar akan tetap mempengerusikan majlis mesyuarat exco negeri?

ZAMBRY: Ya, ia adalah mesyuarat haram.

SOALAN: Bagaimana dengan Barisan Nasional?

ZAMBRY: Dia baca apa pun tidak tahu. Yang haram pada orang lain, halal bagi dia.

SOALAN: Bila Datuk akan mengambil alih pejabat rasmi?

ZAMBRY: Saya akan membincangkannya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri kerana beliau adalah orang yang menguruskan pentadbiran pejabat. Exco Barisan akan diputuskan selepas 10 Februari (Selasa).

SOALAN: Adakah Datuk akan mengadakan mesyuarat selepas itu?

ZAMBRY: Kita akan melakukan tugas kita sebaik sahaja barisan baru Exco diumumkan.

SOALAN: Apa pandangan Datuk mengenai perhimpunan haram berdekatan Istana Iskandariah semalam?

ZAMBRY: Mereka seperti penunjuk perasaan jalanan. Biarkan rakyat melihat bagaimana mereka itu. Saya yakin yang majoriti rakyat mahukan keamanan. Apa jua krisis mesti diselesaikan dengan cara yang sah dan mengikut proses undang-undang.

SOALAN: Adakah pelantikan Datuk sesuatu yang agak mengejutkan?

ZAMBRY: Tidak. Ia dilakukan mengikut proses undang-undang. Mereka (Pakatan Rakyat) yang menimbulkan persepsi itu. Cabaran utama saya adalah untuk memberitahu umum yang ia dilakukan mengikut undang-undang. Ia adalah hak dan kuasa mutlak Sultan untuk melantik sesiapa yang difikirkan layak untuk menjadi Menteri Besar Perak.

Beliau (Nizar) secara adatnya tahu siapa yang sepatutnya menjadi Menteri Besar. Tetapi Sultan memutuskan untuk melantik beliau. Itu hak mutlak Sultan. Sultan Perak tahu undang-undang. Baginda adalah bekas Ketua Hakim Negara. Jadi, tindakan baginda semestinya berdasarkan peruntukan undang-undang. Sekiranya Sultan menitahkan saya mengosongkan jawatan, saya akan patuh. Ini adalah perkara prinsip. Ini bukan sama ada saya sepatutnya dipilih atau sebaliknya kerana Sultan mempunyai hak mutlak.

Sesiapa sahaja termasuk saya mesti dengan pasti menyatakan yang jika Sultan merasakan bahawa saya tidak lagi sesuai (untuk jawatan Menteri Besar), atau jika kita tidak mempunyai majoriti, Sultan mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja.

SOALAN: Adakah Datuk berasa selamat dengan jawatan sebagai Menteri Besar terutamanya apabila tiga ADUN yang menyatakan sokongan mereka kepada Barisan tidak menyertai mana-mana parti komponen... justeru masih ada kemungkinan mereka merubah kesetiaan itu?

ZAMBRY: Mereka adalah anggota Bebas yang mesra terhadap Barisan. Kami sentiasa mengikut peraturan.

SOALAN: Datuk telah dilantik oleh Sultan tetapi adakah Datuk merasakan yang Datuk mendapat mandat daripada rakyat?

ZAMBRY: Pelantikan saya juga adalah mandat daripada rakyat kerana ia berdasarkan jumlah wakil yang kita ada dalam DUN.

SOALAN: Adakah Datuk akan memperbetulkan persepsi rakyat terhadap Datuk?

ZAMBRY: Kita harus pergi kepada rakyat dan meminta mereka supaya terus bertenang. Keutamaan saya adalah untuk menasihatkan rakyat supaya melihat isu ini dari perspektif yang bersesuaian.

SOALAN: Adakah tiga ADUN Bebas akan diberikan jawatan Exco?

ZAMBRY: Kita akan umumkan bila masanya tiba. Kita akan lihat barisan Exco itu apabila saya membuat pengumuman nanti.

SOALAN: Adakah Barisan akan menyokong pelantikan Hee Yit Foong (ADUN Jelapang) sebagai Timbalan Speaker?

ZAMBRY: Kita akan melihat perkara itu. Saya akan membuat keputusan.

SOALAN: Nizar masih belum mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar?

ZAMBRY: Biarkan beliau jika beliau tidak mahu kosongkan. Apa yang penting bukanlah kediaman rasmi tetapi meneruskan perkhidmatan kepada rakyat. Biarkan beliau menggunakan kediaman dan kereta rasmi itu. Walaupun jika ini bermakna saya tidak dapat berpindah masuk, saya tidak kisah. Saya boleh bekerja dari rumah saya.

SOALAN: Tidak ada wakil India dalam Barisan Nasional?

ZAMBRY: Saya akan melihat perkara itu. Saya tidak mahu mana-mana komuniti berasa terpinggir.

SOALAN: Bagaimana dengan dasar memberikan status pegangan bebas kepada Kampung Baru Cina?

ZAMBRY: Nanti dahulu. Saya belum masuk ke pejabat pun lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain