suria

Presiden IPF: Isteri Pandithan nafi ROS isytihar tidak sah

PETALING JAYA: Isteri mendiang Tan Sri M.G. Pandithan, yang mengetuai Barisan Progresif India (IPF) sejak Mei lalu, menafikan statusnya sebagai Presiden parti telah diputuskan sebagai tidak sah oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Jayashree Gnanapandithan berkata, cakap-cakap bahawa ROS telah mengeluarkan surat sedemikian adalah tidak benar sama sekali.

"Ia cuma khabar angin sahaja... tidak betul, adakah anda mempunyai surat mengenainya?" kata beliau ketika dihubungi mStar Online. Jayashree dilaporkan mengetuai IPF sebelum kematian Pandithan Mei lalu.

IPF ditubuhkan oleh Pandithan, bekas Naib Presiden MIC, selepas dipecat daripada parti itu dua dekad yang lalu.

IPF, yang mendakwa mempunyai hampir 250,000 anggota, dikatakan berdepan perebutan jawatan selepas Jayashree memecat dan menggantung keanggotaan beberapa pemimpin serta anggota tertinggi parti, termasuk Timbalan Presiden parti V. Senggutuan, Naib Presiden V. Mathiyalagan dan Ketua Pemuda R. Ravi Shankar.

Pada 26 Disember lalu, Mathiyalagan gagal dalam usahanya untuk menghalang Jayashree daripada terus berkhidmat sebagai Presiden IPF selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan dengan jelas bahawa mahkamah tidak seharusnya melayan atau menentukan apa saja saman, permohonan atau prosiding atas apa juga alasan berhubung keputusan parti.

Dalam permohonannya itu, Mathiyalagan antara lain memohon beberapa pengisytiharan bahawa Jayashree bukanlah Presiden IPF yang sah dan surat pelantikan beliau sebagai presiden parti bertarikh 20 April, 2008 dan mesyuarat majlis tertinggi parti yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur pada 20 April tahun lepas adalah batal dan tidak sah.

Artikel Berikut

Artikel Lain