FAM pecat jurulatih, pengurus pasukan kebangsan - Semasa | mStar

FAM pecat jurulatih, pengurus pasukan kebangsan

PETALING JAYA: Mesyuarat jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan untuk menamatkan kontrak jurulatih dan pengurus pasukan kebangsaan iaitu B. Sathianathan dan Datuk Soh Chin Aun.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata penamatan kontrak keduadua individu itu adalah bagi memberi peluang kepada muka baru untuk membimbing skuad kebangsaan.

"Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah secara majoritinya bersetuju menamatkan kontrak Sathianathan dengan notis sebulan atas beberapa sebab manakala khidmat Chin Aun pula ditamatkan sertamerta," katanya kepada pemberita di Wisma FAM petang ini setelah bermesyuarat lebih tiga jam.

Redzuan bagaimanapun enggan menyatakan sebab-sebab tersebut secara terperinci sama ada ia berkaitan dengan tindakan Sathianathan mengeluarkan kenyataan "Liga Malaysia bukan bola sepak" selepas kekalahan 05 skuad kebangsaan kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2011, minggu lepas.

"Bagi jawatan jurulatih ia akan dibincang dan diputuskan oleh jawatankuasa pengurusan skuad kebangsaan yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata FAM telah pun mempunyai beberapa senarai nama jurulatih tempatan untuk menggantikan Sathianathan yang pernah membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka dua tahun lepas.

Bagi jawatan pengurus, Redzuan berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk melantik salah seorang Naib Presiden FAM iaitu Datuk Gulzar Mohamad menggantikan Chin Aun.

Redzuan turut menjelaskan kekeliruan yang timbul kerana sebelum ini jawatan pengurus pasukan kebangsaan sebenarnya disandang oleh seorang lagi Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Sebenarnya Khairy telah mempunyai persefahaman dengan Chin Aun untuk membolehkan legenda bola sepak negara itu melaksanakan tugas selaku pengurus kerana Khairy tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada skuad kebangsaan," katanya.

Pada sidang media itu juga Redzuan berkata, mesyuarat juga bersetuju mengarahkan tunggakan gaji berjumlah RM620,000 kepada pemain dan jurulatih yang membabitkan tujuh persatuan negeri dan kelab diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini.

"Jika gagal berbuat demikian, FAM akan mengambil tindakan drastik untuk tidak membenarkan persatuan negeri atau kelab terbabit bertanding dalam Liga Malaysia tahun depan," katanya.

Mengenai pertemuan badan induk bola sepak kebangsaan itu dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu ini, Redzuan berkata FAM akan menghantar tujuh wakil yang diketuai oleh Khairy bagi membentangkan kertas cadangan mengenai hala tuju bola sepak negara.

"Kertas cadangan yang dipersetujui mesyuarat hari ini mengandungi segala perancangan dan program bermula di peringkat akar umbi, cuma yang diperlukan ialah kos pelaksanaannya," katanya.

Redzuan berkata, FAM sebelum ini bergerak sendiri dalam membangunkan bola sepak tempatan tanpa bantuan manamana pihak dengan sesetengah rancangan yang diatur terpaksa ditangguhkan akibat masalah kos yang tinggi.

"Pendapatan kami sekarang adalah jauh berbeza dan lebih rendah ketika Dunhill menjadi penaja iaitu bagi tempoh dari 1998 hingga 2007 berjumlah RM300 juta," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Elak cakap isu perkauman - Koh

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain