suria

Rayuan kes Siti Fatimah Tan diputuskan 16 Mac

PULAU PINANG: Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang hari ini menetapkan 16 Mac ini untuk keputusan kes rayuan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mengisytiharkan Siti Fatimah Tan Abdullah, 39, sebagai bukan lagi seorang Islam pada Mei 2008.

Ketua Hakim Syarie/Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Ibrahim Lembut membuat keputusan itu setelah mendengar hujah keduadua peguam bagi pihak perayu iaitu MAIPP dan juga Siti Fatimah selaku responden dalam kes ini.

Beliau yang mengetuai korum tiga hakim, yang turut dianggotai Datuk Muhammad Asri Abdullah dan Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kes berkenaan kerana ia merupakan kes yang rumit.

"Ini adalah kes rumit dan memerlukan penelitian yang rapi. Kita perlu mengambil iktibar daripada kisah dan sejarah lalu termasuk merujuk kes sivil dan jenayah syariah. Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah menangguhkan kepada 16 Mac ini untuk keputusannya," katanya.

Kes itu dianggap sebagai kes contoh dan beberapa kes lain berkaitan pengisytiharan status agama yang sedang dibicarakan di negeri ini menunggu keputusan rayuan berkenaan.

Pada Mei tahun lalu, hakim bicara ketika itu, Othman Ibrahim mengisytiharkan bahawa Siti Fatimah bukan lagi orang Islam dan mahkamah itu memerintahkan MAIPP untuk membatalkan pendaftaran sijil akuan memeluk Islam beliau.

Bagaimanapun, Ibrahim menolak permohonan Siti Fatimah supaya mahkamah memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya dengan alasan bahawa mahkamah itu tiada bidang kuasa untuk berbuat demikian dan menasihati Siti Fatimah untuk menguruskan sendiri perkara itu dengan jabatan berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, perayu menerusi peguam syarienya, Ahmad Munawir Abdul Aziz memohon mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu atau mengeluarkan perintah lain yang sewajarnya berhubung kes berkenaan.

Katanya, asas rayuan pihaknya berkisar kepada kekhilafan penghakiman hakim bicara ketika itu, yang telah menggunapakai Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004 untuk membuat keputusan berkenaan.

Menurutnya, seksyen itu hanya memperuntuk kuasa untuk menentukan status sama ada seseorang itu adalah orang Islam atau sebaliknya dan bukannya membenarkan dia keluar daripada agama Islam.

Beliau berkata, tiada sebarang undangundang di negeri ini yang memperuntuk kuasa khusus untuk membenarkan seseorang itu keluar daripada Islam atau murtad. "Sekiranya tiada peruntukan khusus mengenai kesalahan murtad, bagaimana di bawah bidang Mal, seseorang itu mengemukakan permohonan murtad? Dari penelitian, jelas bahawa ianya satu penyalahgunaan proses mahkamah dan keputusan Mahkamah Tinggi itu amat berbeza dengan pendekatan para Fuqaha Islam yang mengkategorikan perbuatan keluar Islam sebagai satu jenayah," katanya.

Ahmad Munawir juga berkata, keputusan hakim bicara itu untuk membatalkan daftar kemasukan Islam Siti Fatimah juga adalah bercanggah dengan Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004 itu.

Sementara itu, dalam hujah balasnya, peguam responden, Ahmad Jailani Abdul Ghani yang mempertahan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu berkata, seksyen berkenaan memang memperuntuk kuasa kepada mahkamah untuk membuat perisytiharan bahawa seseorang itu bukanlah orang Islam.

Katanya, dari segi syarak, apabila seseorang Islam membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam, itu sudah cukup untuk membatalkan aqidahnya dan terus menjadikannya sebagai bukan Islam atau kafir.

Katanya, iman dan aqidah orang Islam akan terbatal memadai melalui salah satu daripada tiga cara iaitu perkataan, perbuatan atau kepercayaan. Dalam hal itu, katanya, Siti Fatimah telah mengaku bahawa beliau menyembah berhala (Tok Pek Kong), tidak mengamalkan ajaran Islam dan memakan daging babi dan ini sudah cukup untuk menjelaskan statusnya.

"Menjadi tugas mahkamah untuk menentukan agama sebenar Siti Fatimah dan jika telah jelas beliau bukan seorang Islam, putuskanlah begitu. Adalah menjadi satu kezaliman untuk membiarkan status dokumen seseorang itu sebagai Islam sedangkan hakikatnya dia adalah kafir.

"Status Islam atau kafir amat penting kerana ia akan melibatkan hukumhukum lain yang berkaitan dengan harta pusaka, perkahwinan, urusan jenazah dan pemakaian undangundang lain," katanya.

Menurutnya, jika anak guamnya meninggal dunia, tidak lagi berlaku kekeliruan dan perebutan mayat antara keluarganya dan MAIPP kerana status agama telah jelas malahan Islam tidak membenarkan mayat orang bukan Islam dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam. Oleh itu, beliau memohon supaya mahkamah menolak rayuan MAIPP itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang itu.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain