Rafidah dahului senarai 279 penerima darjah kebesaran

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mendahului senarai 279 penerima darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka pada 7 Jun.

Rafidah, yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menerima darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri pada majlis istiadat penganugerahan bintang dan pingat di Balairong Seri, Istana Negara, di sini.

Lima orang menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Negeri Johor, Datuk Zahri Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Pengerusi Eksekutif ECM Libra. Datuk Kalimullah Masheerul Hassan serta dua pesara kerajaan iaitu Datuk Salim Hashim dan Datuk Othman Lebai Saad.

Supt Musa Mohd Safri menerima Kesatria Setia Diraja manakala atlet pejalan kaki negara. Yuan Yu Fang adalah antara 88 penerima Ahli Mangku Negara (AMN).

Selain itu, tiga orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 15 Johan Setia Mahkota (JSM), 41 Kesatria Mangku Negara (KMN) dan 125 Pingat Pangkuan Negara (PPN). BERNAMA

Artikel Sebelum

UM utamakan pengajian ijazah lanjutan

Artikel Berikut

Abhisit Vejjajiva PM baru Thailand

Artikel Lain