Hormati pendirian Shahrizat - Semasa | mStar

Hormati pendirian Shahrizat

LIMA (Peru): Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa proses pemilihan Ketua Wanita Umno tidak harus menjejaskan perpaduan dalam pergerakan itu.

"Wanita mesti berikhtisas untuk merapatkan barisan secepat mungkin selepas pemilihan dan ini adalah penting sekali," kata Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno, dalam satu sidang akhbar di sini.

Najib, yang berada di sini untuk menghadiri mesyuarat pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan bermula Sabtu ini berkata, proses pemilihan itu mesti mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti.

"Dan cara kita berkempen itu mestilah merupakan kempen yang sihat dan bersih," kata beliau semasa mengulas keputusan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk merebut jawatan nombor satu pergerakan itu.

Penyandang Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz dijangka mengeluarkan kenyataan hari ini untuk mengumumkan untuk mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Najib berkata Wanita Umno mesti meneruskan tanggungjawab dan kerja mereka sebagai tulang belakang kepada parti Umno untuk terus memastikan bahawa Wanita Umno terus kuat dan kukuh.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan yang diambil oleh Shahrizat itu haruslah dihormati kerana ia dibuat berasaskan sokongan anggota Wanita Umno. "Saya kira ini mungkin keputusan atas dasar orang kata demokrasi dalam Umno, memberi ruang kepada ahli-ahli wanita untuk putuskan siapa yang lebih layak.

"Yang penting kita tidak mahu apa-apa bentuk yang dianggap boleh menimbulkan perbalahan, perpecahan," katanya selepas menghadiri mesyuarat menteri-menteri Apec di sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata proses pertandingan adalah proses biasa dalam Umno, termasuklah pertandingan di peringkat tertinggi yang melibatkan lebih daripada satu calon namun calon yang bertanding haruslah mempunyai semangat setia kawan.

Mengulas tentang laporan calon timbalan presiden akan disiasat berhubung rasuah, Muhyiddin berkata terserahlah kepada Lembaga Disiplin Umno untuk memutuskan tindakan yang perlu diambil.

"Kalau Lembaga disiplin ini mempunyai bukti siapa yang terima, itu memang diputuskan tindakan boleh diambil pada sesiapa, tidak perlu memilih bulu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KENYATAAN AKHBAR RAFIDAH AZIZ

Artikel Berkaitan

Artikel Lain