suria

Kerajaan umum pakej rancangan ekonomi RM7 bilion, jimatan subsidi minyak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM7 bilion daripada penjimatan subsidi minyak untuk membiayai pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Inisiatif itu, yang dibentang oleh Timbalan Perdana Menteri semasa menggulung perbahasan Bajet 2009 peringkat Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, antara lain melibatkan pembinaan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana, membaik pulih rumah usang rakyat miskin tegar dan penyediaan prasarana asas.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, RM1.2 bilion diperuntukkan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana melibatkan pembinaan 6,500 unit rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad serta 4,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Katanya, 15,000 unit rumah bernilai antara RM30,000 dan RM35,000 sebuah akan dibina di Semenanjung manakala antara RM35,000 dan RM40,000 sebuah untuk Sabah dan Sarawak.

Dianggarkan secara purata, sebanyak 100 buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina di setiap daerah di seluruh negara.

KADAR INFLASI

Najib juga berkata, kadar inflasi pada 2009 dijangka berada pada tahap 3 hingga 4 peratus, jika harga minyak dunia kekal dalam aliran menurun seperti sekarang.

Beliau berkata, defisit fiskal kerajaan bagi 2009 masih pada tahap yang terkawal, yang dianggarkan sebanyak 4.8 peratus, memandangkan kerajaan memilih untuk terus menyediakan bajet yang mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, yang tahap ini serupa dengan anggaran defisit tahun 2009.

"Defisit 4.8 peratus ini bersifat sementara, dalam lingkungan yang munasabah memandangkan negara mempunyai mudah tunai yang mencukupi untuk meminjam daripada pelbagai sumber dalaman," katanya.

"Kerajaan akan mengamalkan dasar "pengembangan" seperti yang diamalkan oleh negara-negara lain pada masa kini.

Mulai Februari 2009, Najib berkata, biodiesel akan digunakan, bermula dengan kenderaan-kenderaan kerajaan, diikuti sektor industri dan pengangkutan.

Adunan itu dianggarkan memerlukan 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal 2010, katanya.

Bagi mengurangkan kos input pertanian terutama baja, kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak 5 peratus yang dikenakan ke atas tujuh jenis baja.

Ini adalah tambahan kepada pemansuhan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009.

Menerusi langkah itu semua baja mineral yang diimport tidak lagi dikenakan duti, kata Najib.

Beliau juga berkata, selari dengan penurunan harga minyak mentah, industri pengeluar baja tempatan bersetuju membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus harga baja serta merta, katanya.

SENARIO GLOBAL

Najib berkata, pembentangan Bajet 2009 yang lepas telah mengambil kira dan mengunjurkan senario global yang mencabar bagi tahun 2009.

Namun, perubahan perkembangan ekonomi global yang mendadak sejak akhir-akhir ini memerlukan kita mengambil tindakan proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global semasa.

"Keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa ataupun dengan izin, extraordinary times, require extraordinary measures," katanya.

"Perlu ditekankan bahawa jumlah perbelanjaan yang dibentang pada Bajet 2009 masih tidak berubah.

"Segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkahlangkah tambahan ini adalah hasil penjimatan daripada subsidi minyak," katanya.

SEMAK PROJEK

Dalam strategi melaksanakan dasar fiskal yang mengembang, Najib berkata, kerajaan akan menyemak semula projek-projek dengan tujuan untuk memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah.

Ini akan dilaksanakan tanpa menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini.

Sebagai contoh, Kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, supaya penjimatan ini boleh digunakan bagi projek pembangunan yang lain, kata Najib.

Bagi meningkatkan lagi pendidikan negara dan mengambil kira kehendak semua kaum, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta untuk empat kumpulan sekolah RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk sekolah mubaligh, RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta SJK Tamil.

Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi mewujudkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutama di Koridorkoridor Pembangunan Wilayah.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam, khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandarbandar utama memandangkan kos sara hidup di bandar adalah tinggi, termasuk untuk menampung kos pengangkutan.

DANA PELABURAN

Najib juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi menubuhkan Dana Pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta dengan tumpuan diberikan terhadap sektor strategik yang bernilai tambah tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan.

Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur.

Pendekatan itu berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam, ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi termasuk pengeluaran panel solar, industri aeroangkasa dan komponen kapal terbang, katanya.

Najib juga berkata, sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, dengan menyediakan perkhidmatan ini kepada 300,000 premis, terutama di Lembah Klang dan kawasan industri seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim, menjelang akhir 2009.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan modal insan melalui programprogram latihan yang diurus oleh kementerian berkaitan, katanya, selain RM100 juta untuk memperkasakan golongan belia melalui program program baru.

Antara program yang akan disediakan ialah rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang melibatkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung Orang Asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak. BERNAMA

Artikel Lain