suria

Polis Marin rampas 1272 haiwan eksotik

KUANTAN: Polis Marin merampas 1,272 ekor haiwan eksotik yang terdiri daripada biawak tikus, biawak air dan ular sawa di dalam sebuah rumah kontena di kawasan hutan Bukit Astana dekat Indera Mahkota di sini, malam tadi.

Ketua Bahagian Risikan dan Operasi Marin Wilayah Timur, DSP Mohd Hassan Hashim berkata rampasan itu dilakukan oleh Unit Risikan Marin pada kira-kira pukul 8.30 malam, dan haiwan itu dipercayai dihimpumkan di rumah berkenaan sebelum dieksport keluar negara.

Beliau berkata haiwan yang terdiri daripada 1,244 ekor biawak tikus, 17 ekor biawak air dan 11 ekor ular sawa itu ditemui dalam 72 kotak plastik dan 20 kotak kayu di dalam rumah kontena berkenaan.

"Semua haiwan itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana semasa diserbu, rumah kontena itu tidak berpenghuni, dan polis sedang bekerja keras mengenal pasti mereka yang terlibat dengan kegiatan itu.

Katanya ia merupakan antara rampasan terbesar dilakukan sejak pihaknya merampas lebih 5,000 ekor tenggiling pada 2006. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain