suria

18 Disember sebutan semula kes tuntutan harta isteri oleh bekas geologi Petronas

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 18 Dis depan untuk sebutan semula kes pembahagian harta peninggalan pegawai sumber manusia Petronas Carigali Faizah Arshad yang mati ditikam suaminya, bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz.

Hakim Syarie Saarani Ismail menetapkan tarikh itu bagi memastikan kedua-dua pihak plaintif dan defendan telah memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Amanah Raya Berhad selaku plaintif sebelum ini mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Muhamad Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.

Selain Muhamad Suhaimi, dua anak lelaki Faizah, Muhamad Fariz dan Muhamad Syafiq berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya, Sarah hanya satu bahagian, manakala ibu bapa Faizah setiap seorang berhak dua bahagian harta itu.

Amanah Raya juga memohon membatalkan Sijil Pembahagian Harta (faraid) bertarikh 13 Okt 2000 dengan mengeluarkan nama Muhamad Suhaimi sebagai penerima pusaka. Amanah Raya juga memohon supaya sijil baru dikeluarkan.

Terdahulu, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Amanah Raya memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua defendan iaitu Muhamad Suhaimi, bekas bapa mertuanya, Arshad Shafiee dan tiga anaknya Muhamad Fariz, Muhamad Syafiq dan Sarah telah memfailkan pernyataan tuntutan pembelaan masing-masing.

Beliau berkata setelah meneliti semua pernyataan tuntutan itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa persoalan mengenai fakta membabitkan perkahwinan, hak penjagaan anakanak dan sijil faraid tidak timbul serta perbicaraan bagi kes itu boleh diteruskan.

"Kami (pihak peguam) juga bersetuju bahawa hanya satu persoalan membabitkan hukum syarak akan dibangkitkan (dalam perbicaraan kelak) iaitu sama ada seseorang yang membunuh dalam keadaan gangguan mental berhak warisi harta orang yang dibunuh itu. Kami akan rujuk isu itu berdasarkan nas, Al-Quran, hadis, pandangan ulamak dan enakmen.

"Tuntutan plaintif diberi tempoh sebulan untuk failkan hujahan secara bertulis dan tempoh sebulan lagi bagi semua defendan jawab hujahan itu," katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan pihak plaintif memfailkan hujahan bertulisnya selewatlewatnya 20 Nov depan dan pihak defendan untuk mengemukakan hujahan balas pada 18 Dis depan.

Muhamad Suhaimi diwakili peguam syarie Musa Awang sementara peguam syarie Hairunnajmi Najmuddin mewakili Arshad, Muhamad Fariz, Muhamad Syafiq dan Sarah.

Muhamad Suhaimi, 48, didakwa membunuh dengan cara menikam Faizah, 37, dalam bilik air di rumah mereka di Bukit Damansara pada 3 petang, 25 Sept 1999.

Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu atas alasan kurang siuman dan menjalani rawatan pemulihan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan atas perkenan Yang diPertuan Agong sehingga 4 Okt 2007. Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain