suria

Tee Keat dakwa calon lain tabur fitnah

KUALA LUMPUR: Sebaik disahkan sebagai salah seorang calon bagi jawatan Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat membidas calon-calon tertentu yang didakwanya mengamalkan cara berkempen putar belit serta menabur fitnah.

Sambil menegaskan kenyataannya itu bukan berasaskan tanggapannya sendiri, tetapi pemerhatian berasas serta aduan ahli-ahli akar umbi parti itu sejak kebelakangan ini.

Katanya, perbuatan cela itu bukan hanya dilakukan oleh calon terlibat sendiri, tetapi juga oleh golongan-golongan tertentu yang bertindak sebagai jentera berkempen mereka.

"Sejak saya memulakan penjelajahan ke seluruh negara untuk bertemu dengan ahli-ahli akar umbi saya dapati pada keseluruhannya mereka mahukan perubahan khasnya dari segi amalan budaya politik dan pendekatan parti.

"Oleh itu saya berharap, pihak terlibat akan menghentikan pendekatan buruk ini kerana ia akan meninggalkan kesan buruk kepada parti dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Ong yang akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan pemimpin veteran Datuk Seri Chua Jui Ming bagi jawatan nombor satu MCA itu Sabtu ini turutn menyifatkan pertandingan kali ini sebagai pertembungan antara satu pihak yang ingin membawakan angin perubahan ke dalam parti dengan pihak lain yang lebih ghairah untuk berkuasa agar akan dapat menentukan siapa menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

"Ini juga saya lihat sebagai pertembungan antara pihak yang asyik menabur janji walaupun ketika mereka berkuasa mereka tidak berbuat apa-apa dengan satu lagi pihak yang ingin meneruskan agenda perjuangan memertabatkan parti serta masyarakat yang diwakilinya," kata beliau kepada pemberita selepas pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti ditutup petang tadi.

Semua jawatan tertinggi parti itu, melainkan jawatan ketua bagi kedua-dua sayapnya yang dimenangi tanpa bertanding masing-masing oleh Datuk Dr Wee Ka Siong dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebaik tempoh penamaan calon ditutup, menyaksikan pertandingan.

Ong berkata walaupun bagaimanapun corak berkempen calon-calon lain, beliau akan tetap dengan pendekatan berkempen yang mengutamakan keterbukaan, termasuk menggalakkan semua calon lain menyertai program yang dirancang oleh jentera kempen beliau walau di mana sahaja.

Ditanya sama ada beliau akan cuba memperkenalkan pendekatan tegas mengekang kegiatan seperti itu dari berterusan sekiranya menang sebagai Presiden MCA nanti, Ong berkata:

"Sebenarnya perbuatan cela seperti ini tidak boleh disekat dengan hanya memperkenalkan peraturan tegas. Ia hanya boleh dihapuskan apabila perwakilan yang berkuasa sedar tentang keburukannya amalan itu. Saya dapati amalan buruk ini bukan hanya menular dalam MCA, tetapi telah menjadi budaya hampir dalam semua parti politik di negara ini," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain