suria

Ahli LPPR dakwa tiada konflik dengan Abu Zahar, hanya beza pendapat isu Azam Baki

Abu Zahar pada sidang media, Selasa. foto AZMAN GHANI/The Star

TIADA konflik antara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang, kata ahli lembaga itu Prof Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Beliau berkata, ia hanya soal berbeza pendapat isu dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi pemilikan saham, Azam Baki minta semua bersabar

ARTIKEL BERKAITAN: Pihak berkuasa bebas siasat dakwaan salah laku ketua pesuruhjaya SPRM - Abu Zahar

Memetik laporan Berita Harian, beliau turut memberitahu bahawa mereka akan mengadakan pertemuan tidak lama lagi bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Kami akan mengadakan mesyuarat LPPR akhir bulan ini dan diharapkan dapat menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat.

"Tak ada konflik pun, cuma perbezaan pendapat," kata Mohammad Agus pada Selasa.

Beliau berkata, ahli LPPR termasuk beliau, memutuskan untuk tidak membuat ulasan buat masa ini kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Bagaimanapun, Azam memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media itu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhajaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.

Bagaimanapun, enam ahli LPPR lain iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee and Mohammad Agus menegaskan bahawa kenyataan Abu Zahar adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu dan mereka tidak pernah menyuarakan pendirian sama. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain