suria

MARA landasan wujudkan komuniti usahawan bumiputera

"MARA akan terus berperanan mewujudkan usahawan Melayu selagi ada generasi Melayu yang mahu berniaga," ujar Datuk Othman Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Majlis Amanah Rakyat atau ringkasnya Mara.

Menurut beliau, Mara yang ditubuhkan lebih 40 tahun lalu juga dari semasa ke semasa akan mempertingkat usaha memastikan masyarakat Melayu khususnya dan Bumiputera amnya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Dalam masa yang sama, Othman berkata orang Melayu dan Bumiputera perlu bersedia untuk berubah kerana "perubahan yang dibuat Mara tidak akan sampai kepada mereka jika mereka sendiri tidak dapat menerima dan bersedia untuk berubah."

"Dengan semua program yang dibuat oleh Mara, kami mahu mewujudkan generasi usahawan dalam kalangan orang Melayu. Kami mahu mereka ini mewariskan perniagaan mereka kepada anak dan cucu-cicit mereka seterusnya.

"Bila sudah ada generasi warisan perniagaan ini, kita hanya perlu membantu mengembangkan perniagaan dan bukan lagi memulakan perniagaan," tegas Othman dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Bangunan Mara di sini baru-baru ini. Di bawah kabinet baru yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mara kini diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

BANGUN EKS

Sesungguhnya Mara juga sinonim dengan usaha kerajaan membangunkan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKs) Bumiputera.

Membangunkan EKS yang didorong usaha untuk bersaing dalam pasaran global adalah juga satu daripada teras dasar Rancangan Malaysia ke9 (20062010).

Menurut Othman, Mara mempunyai perancangan perniagaan khusus untuk menyediakan peluang perniagaan EKS yang boleh disertai oleh usahawan Bumiputera.

Dikenali sebagai Landskap Pembangunan Usahawan, ia dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada April 2007.

Secara keseluruhannya, menurut Othman, mengikut statistik (2003) terdapat 523,132 pertubuhan perniagaan dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pertanian. Dari jumlah itu (99.2%) 518,996 adalah EKS.

Tambahnya, sehingga tahun 2005 terdapat 37,866 industri pembuatan, 451,516 perkhidmatan dan 32,397 bidang pertanian di mana ini dapat mewujudkan sebanyak 394,670 peluang pekerjaan.

Untuk itu, katanya, Mara akan terus menggiatkan usaha menambah dan mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam bidang EKS. Setakat ini, terdapat 32,528 usahawan EKS Bumiputera bernaung di bawah Mara.

Beliau berkata di bawah RMK9, Mara mendapat peruntukan kerajaan sebanyak RM210 juta khusus untuk pengwujudan dan pengembangan EKS Bumiputera (nilai pembiayaan yang juga menggunakan wang pusingan serta wang kutipan balik pembiayaan).

FOKUS MARA

Bagi tujuan meningkatkan pembabitan Bumiputera secara aktif dalam EKS, Mara memberi fokus kepada tiga bidang perniagaan iaitu pemerosesan makanan, peruncitan dan perabot kayu.

"Di bawah tiga teras perniagaan ini kita ada lima bidang keutamaan iaitu peruncitan, perusahaan makanan dan herba, pembangunan bekas graduan dari pusat latihan kemahiran (seperti Giat Mara, Institut Kemahiran Mara), pembangunan usahawan graduan IPTA dan IPTS serta IBS (Industrialised Business System) dan perkakasan.

"Semua usaha kami ini menjurus kepada merealisasikan moto yang pernah dipromosi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi iaitu 'Keusahawan Kerjaya Pilihan'. Kami hendak menanam dan mengubah sikap daripada hanya makan gaji kepada menjadi peniaga," jelas Othman.

Berhubung IBS, beliau menjelaskan bidang itu adalah pendekatan baru untuk menangani lambakan dan pembanjiran pekerja asing di negara ini.

"Berdasarkan laporan media massa, hari ini kita ada berjuta-juta pendatang tanpa izin yang mendominasi pelbagai bidang termasuk peluang pekerjaan dalam industri pembinaan dan mereka ini menghantar pulang hampir RM15 bilion setahun.

"IBS ini akan menjimatkan tenaga pekerja dan menjimatkan kos. Kita ada GiatMara, Institut Kemahiran Mara, UniKL yang memfokus kepada teknikal. Dengan cara ini kita boleh memberi sumbangan kepada pembinaan negara untuk penyertaan Bumiputera yang lebih aktif," jelas Othman.

Beliau menekankan bahawa semua program Mara juga menjurus kepada usaha untuk mewujudkan 60,050 usahawan Bumiputera yang meliputi sektor EKS di bawah RMK9.

Setakat ini (bagi tempoh 20062008), kata beliau, Mara mengeluarkan pembiayaan kepada 33,000 peniaga Bumiputera berjumlah RM1.4 bilion.

KUKUHKAN SISTEM

Bidang pemerosesan makanan ialah antara bidang yang paling ramai diceburi usahawan Bumiputera. Di bawah naungan Mara sahaja terdapat 400 usahawan yang bergiat dalam bidang ini.

Bagaimanapun, menurut Othman, hampir 70 peratus daripada usahawan itu masih tidak mempunyai Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Point).

"Kita perlu mengukuhkan sistem pemerosesan makanan jika mahu teruskan pembabitan dalam bidang ini. Sistem yang ada hari ini tidak begitu kemas. Perlu ada GMP dan HACCP, jika tidak bagaimana hendak menembusi pasaran pasar raya, apatah lagi luar negara?

"Untuk itu, kami menubuhkan sebuah Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR) di Mukim Batu di sini yang menelan kos RM12 juta di mana antaranya kami menyediakan kemudahan untuk pengusaha mendapat pengiktirafan GMP dan HACCP. Kompleks ini dijangka memulakan operasi bulan (Jun) ini.

"Skim yang kami buat ini istimewa kerana di samping menyediakan lokasi untuk beroperasi, kami juga memberi pinjaman untuk membeli peralatan dan modal pusingan," jelas Othman.

PASUKAN PENGURUSAN

Kompleks itu, yang juga akan diselia oleh satu pasukan pengurusan pusat, turut mempunyai sistem pembuangan sisa yang teratur. Ia juga mempunyai dewan pameran yang akan mempamerkan semua produk yang dikeluarkan di kompleks berkenaan.

Pihak yang berminat, sama ada dari dalam atau luar negara yang mahu melihat atau membeli produk berkenaan boleh membuat pilihan mereka serta melawat operasi pengusahapengusaha yang ada.

Menurut beliau, 18 pengusaha makanan telah dipilih untuk beroperasi di kompleks berkenaan untuk tempoh maksimum 10 tahun.

"Mereka ini mempunyai potensi untuk sampai ke peringkat sederhana jika jumlah jualan mencapai RM25 juta setahun. Kami berharap pengusaha-pengusaha yang terpilih ini dapat mencapai jumlah jualan itu dalam masa terdekat," tambahnya.

Othman berkata kompleks yang sama juga sedang dibangunkan di Pedas, (Negeri Sembilan), Serkam (Melaka)dan Dungun (Terengganu).

"Di Dungun, kami akan fokus kepada bidang farmaseutikal. Di samping itu, Mara juga akan membangunkan Halal Park di Pulau Indah," katanya.

LAGI USAHA MARA

Mara juga dalam proses menubuhkan apa yang dipanggil sebagai "Inkubator Teknologi Makanan" (INTEM) di kawasan perindustrian Kepong yang dijangka siap pada Julai 2009.

Antara lain, inkubator ini menyediakan makmal makanan untuk mengkaji pelbagai piawaian yang dikenakan oleh negara asing.

Inkubator itu juga akan berfungsi membuat pembangunan serta pembungkusan produk. Dengan peralatan yang ada, pengusaha juga boleh menghantar produk mereka ke inkubator ini untuk tujuan ujian.

Menurut Othman, untuk mempertingkat dan melancarkan lagi kemampuan serta operasi inkubator itu, Mara juga menjalin kerjasama dengan sebuah agensi penyelidikan dari United Kingdom iaitu Campden Food Research Association.

Dari segi pemasaran, beliau menjelaskan bahawa Mara telah mendapatkan kerjasama hampir kesemua pasar raya yang ada di Malaysia untuk mempromosi produk usahawan Bumiputera.

"Meskipun produk sudah masuk ke pasar raya, kami turut mengadakan Karnival Jualan Mega sepanjang tahun ini bagi membolehkan peniaga menjual terus produk mereka kepada pengguna. Produk yang dipilih sudah semestinya yang berkualiti.

"Dengan cara ini juga ia membantu peniaga daripada segi aliran tunai mereka. Kami rancang mengadakan 70 karnival di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," jelas Othman.

Mara juga, katanya, aktif menyertai ekspo perdagangan di luar negara untuk mempromosi produk usahawan Bumiputera. Di samping itu, ia juga telah menubuhkan syarikat Glocal Link Sdn Bhd untuk menguruskan 11 buah pusat perdagangan bagi mengendalikan pasaran produk usahawan Bumiputera di luar negara.

Dalam bidang peruncitan pula, Mara, kata Othman, telah melatih 7,780 usahawan dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk spa, elektrikal, kesihatan, hiasan dalam rumah, automotif dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Seramai 3,552 usahawan sudah memulakan perniagaan masingmasing. Yang selebihnya dijangka berbuat demikian sebaik sahaja mendapat tempat untuk berniaga.

USAHAWAN BANTU USAHAWAN

Di bawah program berkenaan, Mara melantik usahawan yang sudah berjaya untuk menjadi mentor kepada mereka yang baru hendak berniaga. Di bawah program "MentorMentee" ini, mereka yang dipilih akan berlatih selama tiga hingga enam bulan.

"Selepas tempoh itu, peniaga baru ini akan diberi kursus khas iaitu Latihan Pembentukan Keusahawanan untuk memantapkan lagi kefahaman mereka dalam selok belok perniagaan. Kemudian, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri, mengikut model bisnes mentor mereka.

"Konsep ini juga kami panggil sebagai jaringan buluh, tebing tak runtuh, pokok buluh merendang, saling kuatmenguat, usahawan bantu usahawan," kata Othman sambil menjelaskan bahawa usahawan baru itu juga akan dibimbing oleh Perunding Pengurusan Perniagaan (BMC) yang ditubuhkan Mara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain