suria

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

Warga kota mempunyai harapan untuk melihat pengurusan bandar dan infrastruktur yang lebih baik di Kuala Lumpur. Foto Faihan Ghani

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang diingini penduduk Kuala Lumpur.

Kebanyakan penduduk yang ditanya mengenai perkara itu memberitahu, mereka mahu rancangan baharu dalam menangani isu-isu sedia ada, terutama kesesakan lalu lintas, pembangunan perbandaran yang berlebihan dan kebimbangan lain yang mempengaruhi kehidupan harian mereka.

Penganalisis kewangan, Ivy Yap, 30, yang menetap di Segambut berkata, pelan tersebut perlu memasukkan lebih banyak pengangkutan awam yang meliputi kawasan bandar yang belum disediakan perkhidmatan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

“Saya berharap kita mendapat lebih banyak tren dengan frekuensi yang lebih tinggi bagi menghubungkan kawasan perumahan dengan kepadatan penduduk tinggi serta reka bentuk platform lebih baik untuk penumpang.

“Meningkatkan hab pengangkutan dan bas dapat mengurangkan jarak hubungan perjalanan pertama dan terakhir dalam bandar.

“Saya berpendapat jalan lebih lebar dan infrastruktur lebih baik diperlukan untuk memperbaiki aliran trafik di bandar,” katanya, sambil menambah kedua-dua pengangkutan awam dan sistem jalan yang lebih baik adalah sama penting dalam menangani bilangan trafik harian yang tinggi di bandar.

Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Petaling (SPRA), Tan Tai Tong berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memperlahankan projek pembangunan baharu kerana terdapat lebihan penawaran terhadap unit kediaman.

“Memandangkan terdapat lambakan hartanah pada masa ini, rancangan pembangunan akan datang seharusnya memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah yang lama berlaku di bandar.

“Contohnya di Sri Petaling, terdapat kira-kira 10,000 unit kediaman di sini dan jumlah penduduk kira-kira 50,000 orang. Masalah kesesakan lalu lintas dan kekurangan ruang parkir di kawasan ini masih belum diatasi.

“Perkara ini dihadapi oleh kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur, di mana akses jalan dan sistem penyebaran trafik masih belum cukup lengkap,” katanya, sambil menambah DBKL seharusnya menggunakan lot-lot yang kosong untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan parkir.

Kuala Lumpur mahu dijadikan sebagai bandar raya inklusif buat semua. Foto LOW LAY PHON

Tai Tong turut memberitahu, pelancongan perlu diberikan lebih tumpuan, berikutan ia menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang indah dengan mercu tanda ikonik seperti Dataran Merdeka, bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Petaling.

Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk M Ali berkata, pelan pembangunan harus memberi keutamaan untuk menetapkan nisbah plot yang bersesuaian untuk pembangunan baharu supaya kepadatan penduduk berada dalam kapasiti infrastruktur sedia ada.

“Kawasan penempatan utama seharus kekal sebegitu dan hartanah di kawasan kejiranan tidak boleh diubah kepada tujuan komersial kerana ia akan berkompromi dengan soal keselamatan dan kemudahan lain untuk komuniti.

“Sistem pembentungan perlu diperbaiki bagi mengelakkan lebih banyak banjir kilat di bandar raya dengan hujan lebat yang sering berlaku, baru-baru ini,” katanya.

Peniaga, Farid Sulaiman, 42, berkata, PPKL seharusnya merangkumi usaha penjanaan semula bandar.

“Tidak banyak tanah yang kosong dan kerajaan harus fikir untuk membina semula beberapa ruang yang tidak digunakan dengan membuat pajakan baharu.

“Bangunan-bangunan yang mempunyai nilai warisan perlu diperlihara atau dihidupkan semula,” tambahnya.

Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 diharapkan dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas. Foto FAIHAN GHANI

Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Nurazizi Mokhtar berkata, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL 2020) yang diwartakan pada 2004 di mana menjangkakan Kuala Lumpur menjadi bandar bertaraf dunia menjelang 2020.

Pelan tempatan pertama bagi Kuala Lumpur dikenali sebagai Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020) yang diwartakan pada 2018.

PBRKL 2020 mengenai mencapai matkamat untuk Kuala Lumpur, dan mahu visi tersebut untuk menjadi bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020.

Nurazizi turut berkata, perubahan masih boleh dilakukan dalam PBRKL 2020 yang digazetkan pada 30 Oktober tahun lalu, yang mana seksyen 17(1) Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Akta itu memperuntukkan datuk bandar mencadangkan pelan untuk perubahan, penambahan, semakan, pemansuhan atau penggantian secara keseluruhan atau sebahagian daripada pelan tempatan.

DBKL menerima beberapa permintaan daripada pemaju dan pemilik tanah untuk menilai semula zon dan intensiti tanah.

Draf pertama pindaan termasuk mengubah tiga plot tanah di zon strategik Wangsa Maju-Menjalara, Bukit Jalil-Seputeh dan Bandar Tun Razak-Sungai Besi.

Orang ramai boleh membuat semakan dan memberikan maklum balas serta cadangan mengenai pindaan draf pertama PBRKL 2020 bermula hari ini sehingga 2 Disember di Jabatan Perancangan Bandar DBKL di Aras 13, ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Maklum balas dan cadangan boleh dihantar kepada DBKL dalam bentuk e-mel bersurat ke [email protected].

Nurazizi berkata, DBKL kini menyediakan draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang selaras dengan aspirasi, visi dan matlamat pembangunan mampan 2030 (SDG 2030). 

Jaringan sistem pengangkutan awam yang terancang juga diperlukan warga kota.

Tema tersebut adalah visi ‘Bandar Raya Kuala Lumpur untuk Semua – inklusif, perkongsian, kesaksamaan, kepelbagaian dan boleh diakses.

“Hasrat kami untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang harmoni, sihat, selamat dan maju, yang menawarkan kehidupan berkualiti dan mampan. 

“Ia juga merupakan agenda perbandaran baharu yang diangkat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di mana kita memberi jaminan untuk memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan.

“Visi ‘Bandar Raya untuk Semua’ disokong oleh enam matlamat, iaitu inovatif dan produktif, inklusif, sihat dan bertenaga, pintar iklim dan karbon rendah, pergerakan yang cekap dan mesra alam serta pembangunan bersepadu dan lestari.

Beliau menambah, penglibatan orang awam dalam proses perancangan akan memberikan mereka rasa memiliki.

“Maklum balas orang awam membolehkan penduduk secara langsung terlibat dalam pembangunan bandar dan akan menjadi tanggungjawab bersama dalam semua penduduk dalam memastikan kebersihan dan keselamatan bandar.

“Penglibatan orang awam akan dilaksanakan di pelbagai peringkat di mana pihak berkepentingan akan diberikan pemahaman yang jelas mengenai pelan pembangunan dalam pelbagai platform,” katanya.

DBKL menjemput semua warga kota untuk memberikan maklum balas bagi draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 menerusi penglibatan orang awam, perbincangan kumpulan fokus dan sesi town hall.

Semua pandangan juga boleh dihantar menerusi e-emel ke [email protected] and laman web Pelan Pembangunan Kuala Lumpur: dbkl.gov.my/klmycity2040 atau halaman Facebook ‘Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040’.

Artikel Lain