SEORANG bekas petinju yang juga bekas pengawal keselamatan bertindak kejam dengan menyimbah bahan pelarut (thinner) sebelum membakar dua pelancong Malaysia dalam kejadian pada Khamis malam.Menurut Ketua Polis Lumpini, Kolonel Yingyos Suwanno, suspek, Varakorn Pubthaisong, menyiram bahan kimia daripada botol plastik ke atas Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27, yang ketika itu duduk di tangga sebuah bangunan. Mangsa yang terkejut terus melarikan diri namun dikejar suspek sebelum dia menyalakan api dan membakar mereka dalam kejadian di hadapan pusat beli belah Big C, Jalan Ratchadamri, Bangkok di Thailand.Orang awam yang berada di lokasi berjaya menangkap Varakorn sebelum diserahkan kepada pihak polis.Akibat kejadian itu, Ong mengalami kecederaan parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Polis, manakala Gan dihantar ke Hospital Memorial King Chulalongkorn.Kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan akan dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.Siasatan awal mendapati Varakorn mengaku menyerang secara rawak kerana tertekan selepas diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, menyebabkan dia hilang punca pendapatan. Suspek kini ditahan di Balai Polis Lumpini dan bakal berdepan tuduhan menyerang kedua-dua mangsa dengan niat mencederakan mereka. -Agensi