suria

Pesawat tiba-tiba hilang sebelum mendarat, nasib 10 penumpang dan juruterbang kekal misteri

Sebuah pesawat membawa 10 penumpang hilang pada Khamis. -Foto X

SEBUAH pesawat yang membawa 10 individu dilaporkan hilang di Alaska pada petang Khamis, waktu tempatan.

Terdahulu pasukan Peronda Alaska menerima laporan tentang pesawat Bering Air Caravan yang dalam perjalanan dari Unalakleet ke Nome masih belum tiba seperti dijadualkan.

Hingga kini identiti sembilan penumpang dan seorang juruterbang pesawat itu masih belum didedahkan.

Pengarah Operasi Bering Air, David Olson, berkata pesawat Caravan itu berlepas dari Unalakleet pada pukul 2.37 petang.

Jabatan Bomba Sukarela Nome menyatakan juruterbang pesawat itu memberitahu Kawalan Trafik Udara untuk menunggu sementara landasan dibersihkan.

Data daripada FlightRadar menunjukkan penerbangan Bering Air itu kali terakhir melaporkan maklumat pada pukul 3.16 petang di Norton Sound.

Keadaan cuaca dan penglihatan terhad menyebabkan pencarian udara sukar dilakukan pada masa ini.

Untuk rekod, Alaska sering mengalami kemalangan pesawat kecil, terutamanya pada musim sejuk apabila keadaan cuaca menyukarkan penerbangan. - Agensi

Artikel Lain