EMPAT lelaki warga Israel dijatuhi hukuman denda kerana mencetuskan kekecohan dan gangguan di sebuah hospital.
Dalam kejadian pada 2 Februari lalu, mereka turut didakwa memasuki bilik kecemasan tanpa kebenaran.
Kejadian berlaku di sebuah hospital di Mae Hong Son, Thailand.
Insiden berlaku apabila seorang lelaki warga Israel yang mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal, dikejarkan ke bilik kecemasan untuk menerima rawatan, lapor Channel 7.
Empat rakan pesakit cuba mengikutnya tetapi dihalang oleh pasukan perubatan, yang memaklumkan mereka bahawa bilik kecemasan hanya untuk pegawai perubatan.
Salah seorang daripada mereka mengingkari larangan itu dan membuka pintu bilik kecemasan untuk melihat rakan yang cedera.
Pasukan perubatan terpaksa menangguhkan operasi mereka bagi mengeluarkan lelaki berkenaan dari kawasan tersebut.
Bagaimanapun, perkara itu menimbulkan kemarahan kumpilan berkenaan dengan melakukan kekecohan dan gangguan di hospital.
Mereka kemudian ditahan oleh pengawal keselamatan hospital sebelum dibawa ke balai polis.
Didakwa mengikut Seksyen 397 Undang-Undang Jenayah, keempat-empat warga Israel itu dikenakan denda sebanyak 3,000 baht (RM396) seorang kerana melakukan kesalahan itu. -Agensi