suria

Remaja 14 tahun tikam kanak-kanak, turut serang enam wanita dan dua polis

Hukuman mati akan dikenakan kepada individu yang didapati bersalah membunuh. - Gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun pada Selasa.

Polis mengesahkan remaja berkenaan juga berdepan enam pertuduhan lain membabitkan serangan dan memiliki pisau.

Remaja itu didakwa menyerang empat wanita masing-masing pada 22 Oktober tahun lalu serta pada 19, 20 dan 21 Januari tahun ini.

Selain itu dia turut menyerang dua pegawai polis pada 26 November tahun lalu.

Jambangan bunga diletakkan di kawasan pembunuhan Leo. - Gambar SWNS

Jambangan bunga sebagai penghormatan terakhir diletakkan di kawasan pembunuhan Leo. - Gambar SWNS

"Kami telah mendakwa seorang remaja berusia 14 tahun dengan pembunuhan Leo Ross, yang meninggal dunia selepas ditikam di Hall Green, United Kingdom pada Selasa.

"Remaja lelaki itu tidak boleh dinamakan atas sebab undang-undang, telah direman dan akan hadir di Mahkamah Majistret Birmingham pada Isnin setelah didakwa atas pembunuhan Leo dan memiliki pisau," kata polis.

Pihak berkuasa itu turut memaklumkan berdasarkan siasatan yang menyeluruh dan bukti yang ada, remaja itu turut didakwa dengan enam pertuduhan serangan lain, namun tidak melibatkan penggunaan pisau.

Leo, seorang murid di Christ Church, Church of England Secondary Academy di Yardley Wood, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah apabila dia ditikam di perut.

Orang ramai yang menemui Leo segera membantu dan menghubungi perkhidmatan kecemasan, namun dia meninggal dunia di hospital kira-kira jam 7.30 malam. -Agensi

Artikel Lain