suria

76 maut hotel di pusat peranginan terbakar, mangsa terjun tingkap cuba selamatkan diri

Seramai 238 tetamu sedang menginap di hotel ketika kejadian. -Foto AP

PERCUTIAN bertukar tragedi apabila sekurang-kurangnya 76 nyawa terkorban dalam kebakaran di Hotel Grand Kartal, Kartalkaya, Turkiye pada Selasa.

Hotel yang terletak pada ketinggian 2,000 meter dan hampir penuh dengan 238 tetamu sempena cuti musim sejuk selama dua minggu itu terbakar sekitar pukul 3.30 pagi (waktu tempatan)

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata, setakat ini, 52 mangsa telah dikenal pasti oleh pasukan forensik, manakala selebihnya masih dalam proses pengecaman.

Saksi dan mangsa terselamat berkongsi detik-detik cemas ketika api marak apabila ada yang bertindak terjun dari tingkap atau menggunakan cadar sebagai tali untuk menyelamatkan diri.

"Mereka di tingkat atas menjerit (meminta pertolongan). Ada yang membuang cadar melalui tingkap.

"Ada juga yang nekad melompat," kata seorang mangsa yang berjaya menyelamatkan diri bersama isterinya dari tingkat tiga.

Seorang kakitangan hotel yang enggan dikenali turut berkongsi kisah menyayat hati apabila menyaksikan seorang bapa berusaha menyelamatkan bayinya.

"Dia meminta bantal untuk melemparkan bayinya ke bawah. Mujurlah dia menunggu pasukan penyelamat yang akhirnya berjaya menyelamatkan mereka.

"Di tingkat paling atas, dua wanita tidak sempat diselamatkan dan bertindak terjun dari tingkap. Kedua-duanya disahkan maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita.

Selain korban jiwa, seramai 51 orang turut mengalami kecederaan dengan seorang mangsa masih dirawat di unit rawatan rapi.

Menteri Kesihatan, Kemal Memisoglu memaklumkan bahawa 17 mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala 34 lagi masih menerima rawatan.

Pihak berkuasa kini menyiasat punca kebakaran dan kemungkinan terdapat unsur kecuaian dengan seramai sembilan individu termasuk pemilik hotel telah ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut laporan awal, kebakaran dipercayai bermula di bahagian restoran sebelum merebak dengan pantas ke seluruh hotel yang mempunyai kemasan kayu.

Selepas api berjaya dipadamkan, rakaman dari dalam hotel menunjukkan lobi hangus dan perabot kayu sudah rentung serta kaca yang berkecai. -Agensi

Artikel Lain