SEORANG lelaki yang hadir ke balai polis untuk membuat aduan, secara tiba-tiba bertindak membakar dirinya, di luar premis tersebut. Memetik laporan media tempatan, dalam kejadian pada malam Isnin di balai polis di Chennai, India, lelaki berkenaan datang dalam keadaan mabuk dan mendakwa dua individu telah menyerangnya. Selepas selesai membuat laporan bertulis, lelaki berkenaan keluar dari balai dan tiba-tiba membakar dirinya sendiri, sekali gus mengejutkan orang ramai yang berada di sekitar kawasan berkenaan. Walaupun orang ramai dan anggota polis membantu memadamkan api dengan segera, lelaki tersebut mengalami lecur yang teruk. Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Punca di sebalik tindakannya itu masih belum dapat dipastikan, menurut polis. Bagaimanapun, polis telah menahan dua lelaki berdasarkan aduan yang dibuatnya. Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.