suria

Bermula dengan luahan perasaan, guru wanita paksa pelajar 16 tahun buat hubungan seks... Dua tahun mangsa jadi pemuas nafsu!

Perbuatan memaksa remaja bawah umur melakukan seks adalah satu kesalahan serius dan jenayah yang melanggar hak asasi manusia serta keselamatan kanak-kanak. -Gambar hiasan

PENDIDIK sepatutnya menjadi pembimbing dan menunjukkan teladan yang baik, namun kisah sebaliknya pula berlaku apabila seorang guru ini bertindak mengambil kesempatan terhadap pelajarnya sendiri.

Dalam satu kes yang menggemparkan, seorang guru wanita berusia 35 tahun didakwa menjadikan seorang pelajar lelakinya yang berusia 16 tahun sebagai tempat pemuas nafsu.

Memetik laporan media tempatan, kejadian yang berlaku antara guru wanita berasal dari Desa Sendang Harjo, Jawa Tengah dengan pelajarnya itu pada awalnya bermula apabila remaja tersebut kerap meluahkan masalah keluarga.

Namun, hubungan antara kedua-duanya menjadi semakin rapat sehingga pelajar berkenaan kerap berkunjung ke rumah guru tersebut, atas alasan mahu mengajar mengaji.

Perbuatan mereka dihidu oleh penduduk setempat yang bertindak menerjah rumah guru berkenaan.

Ketika diterjah, kedua-duanya sedang melakukan hubungan seks di bilik air.

Dek kerana perbuatan terkutuk tersebut terbongkar, guru berkenaan akhirnya mengaku sudah berhubungan intim dengan pelajarnya selama dua tahun.

Selama tempoh tersebut, guru berkenaan mengakui memaksa pelajarnya melakukan hubungan intim sebanyak 10 kali.

Difahamkan, pelajar berkenaan sudah berhenti sekolah dan dihantar oleh keluarganya ke sebuah sekolah pondok.

Keluarga pelajar itu juga memilih untuk mengambil tindakan undang-undang dengan melaporkan guru berkenaan kepada polis.

Dilaporkan, guru berkenaan juga sudah meletakkan jawatan.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Grobogan, AKP Agung Joko Haryono melalui Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA), Ipda Yusuf Al Hakim mendedahkan, pihaknya telah mengumpul pelbagai maklumat untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Artikel Lain