suria

Meninggal dekat Kaabah ketika tunai umrah... suami dedah isteri sempat senyum, Allah makbulkan hajatnya

Suami dedah arwah merupakan seorang isteri yang taat sepanjang hayatnya. -Saudi Gazette

SEORANG wanita meninggal dunia berhampiran Kaabah ketika sedang melakukan umrah dan kisah ini tular di media sosial.

Heba Mustafa, jemaah dari Mesir meninggal dunia akibat serangan jantung di samping suaminya, Abdelmoniem Elkhateeb.

Perkongsian Elkhateeb yang juga seorang profesor di Fakulti Perubatan Universiti Assiut Mesir mengenai kematian isterinya mengundang pelbagai reaksi daripada netizen Arab Saudi dan juga Mesir.

"Allah berhak mengambil apa yang Dia miliki dan semua apa yang Dia berikan. Dengan hati yang penuh kesabaran sambil mengharapkan pahala-Nya dan dengan air mata yang berlinang, saya meratapi pemergian isteri, ibu kepada anak-anak, jodoh, peneman, buah hatiku, kebaikanku di dunia, senyumanku, rakanku, dan sahabatku.

“Saya bersaksi kepada Allah, dia adalah isteri yang solehah dan patuh, setia kepada keluarganya dan keluarga suaminya. Dia lurus dan menjalankan peranan sebagai ibu dengan sangat baik,” demikian posting Elkhateeb, seperti dilaporkan Saudi Gazette.

Profesor itu juga bercerita tentang saat-saat terakhir pertemuan mereka di depan Kaabah, Masjidil Haram pada Khamis.

Seperti sudah tahu bakal pergi buat selamanya, wanita itu sempat tersenyum dan mengucapkan selamat tinggal kepada Elkhateeb.

"Saat rohnya diangkat naik bertemu Allah dari Masjidil Haram di Makkah, dia sedang berpuasa dan melakukan umrah ketika bulan suci Ramadan. Innalillahiwainna ilaihi roji'un."

Tambahnya, isterinya itu pernah berkata dia ingin dimakamkan di Makkah dan kini apa yang diingini menjadi kenyataan.

"Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia, dan berikan dia syurga tertinggi, serta berikan kami kesabaran dan kemampuan untuk menahan rasa pedih kerana perpisahan ini,” demikian coretan Elkhateeb.

Posting itu dibanjiri komen netizen yang turut mendoakan agar isteri Elkhateeb meninggal dalam husnul khotimah serta mendapat limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT. -Saudi Gazette

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain