suria

Pengantin tak tahu memandu ‘test drive’ kereta dihadiahkan mentua... makcik maut dirempuh, 4 cedera

Kereta dipandu pengantin merempuh tetamu sehingga seorang wanita meninggal dunia.

MAJLIS perkahwinan semestinya disambut meriah dan menggembirakan seluruh ahli keluarga.

Bagi keluarga ini, majlis yang sepatutnya menggembirakan bertukar mimpi ngeri dan pasti tidak akan dilupakan selamanya.

Mana tidaknya, bakal pengantin lelaki berusia 24 tahun, Arun Kumar, merempuh ibu saudaranya sebelum maut dan mencederakan empat saudara yang lain, Selasa, malam.

Kemalangan berlaku apabila dia memandu uji kereta yang baru dihadiahkan oleh keluarga pengantin perempuan kepadanya, dalam kejadian di daerah Etawah, Uttar Pradesh, India.

Menurut laporan, Kumar baru sahaja ditugaskan di daerah Fatehpur dan bakal berkahwin dengan gadis dari Auraiya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis... Wanita maut dalam nahas babit lima kenderaan

Tragedi berlaku apabila keluarga pengantin perempuan memberikan kunci kereta kepada Kumar pada upacara 'tilak' sebelum pasangan disatukan sebagai suami isteri.

Walaupun tak pandai memandu, Kumar tetap memandunya juga untuk mencuba dan mahu menunjukkan kepada tetamu yang datang ke majlis itu.

Sebaik menghidupkan enjin, dia terus menekan pedal minyak yang akhirnya merempuh saudara mara yang berada di venue majlis.

Ibu saudaranya Sarla Devi,35, maut di tempat kejadian selepas dilanggar dan empat lagi cedera parah.

Salah seorang daripada mereka adalah kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dimasukkan ke hospital.

Pihak berkuasa telah menahan lelaki itu sebaik menerima aduan dan dia akan didakwa menyebabkan kematian secara cuai, memandu secara terburu-buru dan kesalahan lain. - TOI.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain