suria

Lelaki ‘kantoi’ kencing di kubur bekas isteri setiap hari sejak bercerai 46 tahun lalu

Lelaki tersebut dikesan kencing pada kubur bekas isterinya.

RAKAMAN kamera tersembunyi mendedahkan kegiatan jelik seorang lelaki yang tergamak membuang air kecil di atas kubur bekas isteri, meskipun mereka sudah bercerai 46 tahun lalu.

Linda Louise Torello meninggal dunia akibat kanser pada 2017 ketika berusia 66 tahun.

Dia dikebumikan di tanah perkuburan di Gereja Reformasi Tappan di Orangetown, New York.

Anak lelaki Torello, Michael Murphy, 43, berkongsi mengenai perkara tersebut di Facebook.

Menurut Michael, segala-galanya bermula apabila dia menemui beg berisi najis di kubur ibunya ketika datang berziarah.

Dia mengandaikan ia ditinggalkan tanpa sengaja oleh pemilik anjing yang membawa haiwan mereka bersiar-siar, tetapi mula berasa aneh apabila menemui lagi beg najis pada hari yang lain.

Selepas dimaklumkan kepada pihak polis, pengurus tanah perkuburan tersebut memberi kebenaran kepada Michael untuk memasang kamera tersembunyi di kubur ibunya.

Michael ternyata terkejut sebaik melihat kelibat seorang lelaki yang pernah mengahwini ibunya pada 1970-an, di dalam video tersebut.

Lelaki berkenaan tiba pada awal pagi dengan kenderaan jenis SUV, berjalan ke kubur, melondehkan seluarnya dan membuang air kecil.

"Kami mempunyai bukti berminggu-minggu dan berbulan-bulan. Ia telah dilaporkan kepada polis dan saluran berita. Tiada seorang pun dalam keluarga saya pernah berhubung dengan lelaki tersebut sejak 1976.

"Bagaimana dia menemui tapak kubur ibu saya, itu kami tidak pasti," kata Michael.

Polis memberitahu Michael bahawa mereka tidak dapat bertindak kerana tiada ancaman khususnya keganasan fizikal.

Lelaki itu kini cuba melakukan proses perundangan lain agar bekas suami ibunya tidak lagi dapat berkelakuan jijik pada pusara wanita berkenaan. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain