suria

Isteri pertama Donald Trump, Ivana, ditemui meninggal dunia di apartment

Ivana Trump, 73, ditemui meninggal dunia di apartmennya di New York pada Khamis. Foto: Getty Images

BEKAS isteri kepada mantan Presiden Amerika Syarikat, Ivana Trump meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Berita kematian Ivana dikongsikan oleh Donald Trump, menerusi laman sosial Truth Social pada Khamis.

"Dengan rasa dukacitanya saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa Ivana Trump telah meninggal dunia di rumahnya di New York.

"Dia seorang wanita yang hebat, cantik dan mengagumkan, yang menjalani kehidupan yang hebat dan penuh inspirasi.

"Kebanggaan dan kegembiraannya ialah tiga anaknya, Donald Jr, Ivanka dan Eric. Dia sangat bangga dengan mereka, kerana kami semua sangat bangga dengannya," tulis Trump.

Punca kematian Ivana bagaimanapun tidak didedahkan.

Namun ahli keluarganya mengesahkan bahawa Ivana ditemui mati di apartmennya di New York pada Khamis.

Laporan mendakwa bahawa polis New York menerima panggilan mengatakan seseorang mengalami serangan jantung di East 64th Street di Upper East Side Manhattan pada pukul 12.40 tengah hari.

Pegawai menyatakan bahawa kematian Ivana tidak mempunyai unsur mencurigakan.

Trump dan Ivana berkahwin pada 1977 dan dikurniakan tiga anak iaitu Donald Jr, Ivanka dan Eric.

Ivana turut memegang jawatan kanan dalam Organisasi Trump, termasuk naib presiden reka bentuk dalaman dan Ketua Pegawai Eksekutif kasino Trump's Castle.

Pasangan tersebut kemudian bercerai secara rasmi pada 1992. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain