suria

Selepas 40 tahun, misteri kes kematian budak perempuan terungkai... ujian DNA akhirnya berjaya kesan identiti pembunuh

Kes pembunuhan Anne Pham yang berlaku pada 1982 akhirnya ditutup selepas pembunuhnya (gambar kecil) berjaya dikesan baru-baru ini.

SELEPAS 40 tahun, akhirnya kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditutup selepas seorang lelaki didakwa melakukan jenayah tersebut, baru-baru ini.

Anne Pham, 5, dilaporkan hilang ketika berjalan ke tadika pada 21 Januari 1982.

Kanak-kanak tersebut adalah anak pelarian Vietnam yang melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) selepas kejatuhan Saigon pada 1975.

Lelaki yang didakwa membunuh Anne dikenali sebagai Robert Lanoue, 70, di mana dia didakwa dengan pertuduhan pembunuhan peringkat pertama bersama penculikan dan perbuatan lucah ke atas kanak-kanak di bawah umur 14 tahun.

Lanoue menyerang Anne secara seksual dan mencekiknya hingga mati sebelum membuang mayatnya, yang ditemui di Fort Ord, bekas pangkalan tentera AS dan taman negara.

Anne adalah pelajar di Highland Elementary School di Seaside, California manakala Lanoue berusia 29 tahun ketika itu, ditempatkan di Fort Ord sebagai askar.

Kes tersebut dibuka semula selepas pejabat peguam daerah berkata bahawa pihak berkuasa menggunakan 'jenis ujian DNA baharu yang sebelum ini tidak tersedia untuk siasatan awal'.

Ujian DNA akhirnya membawa mereka kepada Lanoue di mana penyiasat California memperoleh waran untuk penahanannya pada 6 Julai lalu.

Lanoue yang merupakan pesalah seks berdaftar, bagaimanapun sudah berada di penjara kerana disabitkan pada tahun 1998 atas kesalahan melakukan kelucahan dengan kanak-kanak bawah umur dan memiliki pornografi kanak-kanak.

Dia sedang menjalani hukuman 20 tahun penjara di Nevada. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI