suria

Majikan bunuh kemudian tanam pekerja bawah tangki septik

Triplett (kiri) ditahan atas tuduhan membunuh pekerjanya, Mark (kanan).

DANIEL Joseph Triplett, seorang pemilik perniagaan di Oklahoma, ditahan atas tuduhan membunuh pekerjanya, Brent Mack serta menanam lelaki berusia 50 tahun itu di bawah tangki septik.

Usaha untuk mencari Mack bermula pada September lalu apabila anak perempuannya, Raychelle Wilson, dilaporkan menghubungi Triplett melalui Facebook Messenger untuk bertanyakan tentang keberadaan bapanya.

Triplett bagaimanapun dilaporkan mendakwa dia telah memecat Mack, kerana "sikap ganasnya."

Dalam satu pesanan teks secara dalam talian, Triplett memberitahu Wilson bahawa selepas memberi Mack "$1000 sebagai pampasan kerana diberhentikan," dia menurunkan Mack di luar sebuah kedai dobi.

“Lt. Bruning bertanya kepada Dan mengenai lokasi dia menurunkan Mack dan Dan (Daniel) memberi lokasi berbeza beberapa kali.

"Dan ditunjukkan satu salinan rakaman video yang menunjukkan dia memandu di Holiday Laundry dan tidak berhenti. Apabila ditanya mengenai ceritanya yang tidak konsisten, muka Dan bertukar kemerahan dan dia kelihatan marah,” menurut laporan afidavit mahkamah.

Bagaimanapun, penyiasat berkata rakaman pengawasan tambahan menunjukkan kedua-dua Triplett dan Mack menguruskan sebuah tangki septik pada 20 September - hari yang sama Mack dikatakan hilang - di sebuah rumah di Mulhall, Oklahoma..

Video menunjukkan Mack masuk ke dalam lubang yang dibuat untuk tangki septik tetapi tidak pernah keluar.

Pelanggan memberitahu polis bahawa hanya seorang pekerja pulang selepas kerja itu selesai.

Apabila penyiasat menggali tangki itu, mereka menemui mayat Mack.

“Pada 22 Oktober 2021, Ejen Woodward dimaklumkan bahawa pegawai pemeriksa perubatan telah menemui apa yang dipercayai peluru di rongga dada dengan luka kemasukan di bahagian atas belakang sebelah kiri,” kata pihak berkuasa.

Triplett kini dalam tahanan di Lokap Logan County dan tidak dibenarkan ikat jamin.

Dia didakwa dengan satu pertuduhan membunuh peringkat pertama, dan mencemarkan mayat manusia. - Atlanta Black Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain