suria

Ludah makanan di pasar raya sambil dakwa diri dijangkiti Covid-19... wanita dipenjara 2 tahun, bayar ganti rugi RM125,850

Selain hukuman penjara 2 tahun, wanita tersebut turut diminta membayar ganti rugi $30,000 (RM125,850) kepada pasar raya tersebut. Gambar hiasan

SEORANG wanita dari Pennsylvania, Amerika Syarikat mendakwa dia dijangkiti Covid-19 dan sengaja batuk pada makanan di dalam sebuah pasar raya.

Kejadian berlaku pada Mac tahun lalu, namun telah didedahkan ketika ini setelah kes tersebut dibicarakan di mahkamah.

Margaret Ann Cirko, 37, didakwa sengaja batuk dan meludah makanan di pasar raya di Pennsylvania, sambil berteriak bahawa dia dijangkiti virus Covid-19.

Dia juga berkata pengunjung di pasar raya tersebut akan jatuh sakit.

Pihak pengurusan pasar raya kemudian terpaksa membuang seluruh stok kerana dibimbangi tercemar dek virus maut itu.

Namun setelah dia ditangkap, hasil ujian saringan yang dilakukan menunjukkan wanita tersebut negatif Covid-19.

Semasa perbicaraan, Cirko membuat permohonan maaf dan mendakwa dia mabuk ketika kejadian.

Walaupun permintaan maaf itu diterima, Cirko tetap dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun, diikuti tempoh percubaan selama 8 tahun selepas dibebaskan.

Malah, dia juga diminta membayar ganti rugi $30,000 (RM125,850) kepada pasar raya tersebut. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain