suria

Kes Covid-19 dikesan di sekolah rendah, beberapa hari sebelum sekolah di England dibuka semula

Ibu bapa kepada murid di Sekolah Rendah Woolaston di Lydney, Gloucestershire, menerima surat berkaitan kes Covid-19. Foto Mirror

WABAK Covid-19 dikesan di sebuah sekolah rendah, hanya beberapa hari sebelum semua murid di seluruh England kembali ke sekolah.

Ibu bapa dan penjaga di Sekolah Rendah Woolaston di Lydney menerima surat makluman mengenai seorang individu disahkan positif Covid-19.

GloucestershireLive melaporkan bahawa individu berkenaan dipercayai menerima jangkitan di acara yang diadakan di sekolah tersebut.

Pemangku guru besar, Emma Gomersall berkata, sekolah tersebut menjalani pembersihan secara rapi pada Rabu dan Khamis susulan penemuan kes berkenaan.

Mereka yang mempunyai kontak dengan individu yang disahkan positif Covid-19 telah dikenal pasti.

Mereka juga telah dihubungi dan diminta untuk menjalani kuarantin dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Insiden berlaku ketika murid-murid membuat persiapan untuk kembali ke sekolah pada Isnin.

Surat itu bagaimanapun menyebut bahawa sekolah rendah tersebut akan terus dibuka semula.

Ibu bapa dan murid-murid digesa supaya mematuhi nasihat kesihatan awam, termasuk mencuci tangan dengan air dan sabun, atau cecair pembasmi kuman.

Mereka juga dinasihatkan untuk menggunakan tisu apabila batuk dan membuang tisu berkenaan ke dalam tong sampah. - Mirror



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekolah, murid, Covid-19, Woolaston,

Artikel Lain