BERATUS-RATUS banduan dari empat buah penjara di Sao Paulo, Brazil bertindak melarikan diri sewaktu rusuhan gara-gara keistimewaan keluar penjara ditangguhkan atas kebimbangan penularan wabak koronavirus atau Covid-19. Keistimewaan bagi banduan terbabit, yang sebelum ini dibenarkan bebas dari penjara untuk tempoh beberapa jam sehari, ditangguhkan sebagai langkah mengelakkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan selepas mereka kembali ke penjara. Penangguhan itu dilakukan kerana wujud kebimbangan apabila 34,000 banduan yang dibebaskan dalam tempoh beberapa jam itu akan dijangkiti dan menjadi pembawa wabak kepada banduan lain apabila kembali semula ke penjara kelak. Pihak berkuasa penjara Sao Paulo berkata tidak dapat dipastikan berapa ramai yang melarikan diri memandangkan mereka masih mengenal pasti identiti banduan terbabit. Namun, laporan media tempatan menyatakan sekurang-kurangnya 1,000 melarikan diri dari empat penjara iaitu Mongaguá, Tremembé, Porto Feliz dan Mirandópolis. Sekretariat pentadbiran negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan malam Isnin berkata bahawa 174 banduan telah ditangkap semula. Dilaporkan, banduan juga mengeluh ekoran sekatan lawatan pada hujung minggu yang dilaksanakan sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. - Metro.co.uk