suria

Tak yakin boleh dapat isteri, bapa tunai hasrat anak buat majlis kahwin mewah walau tanpa pengantin perempuan

Ajay ketika diarak pada majlis 'perkahwinannya'.

SEORANG jejaka mengimpikan majlis kahwinnya diadakan secara mewah dan besar-besaran selepas melihat majlis kahiwn sepupunya berlangsung meriah.

Walaupun hasrat Ajay Barot, 27, itu berjaya dipenuhi, majlis mewah dan gilang-gemilang itu tidak sempurna kerana tidak dihadiri pengantin perempuan.

Semuanya kerana keluarga Ajay mahu memenuhi impiannya, tetapi malangnya mereka menganggap adalah sesuatu yang mustahil untuk Ajay mendapat pasangan.

Justeru, mereka memutuskan untuk menganjurkan perkahwinan tanpa pengantin tetapi tetap memastikan semua ritual dan tradisi Gujarati diikuti.

Sehari sebelum perkahwinan, upacara 'mehendi' dan 'sangeet' diadakan dengan dihadiri oleh teman rapat dan saudara-mara.

Hari berikutnya, Ajay memakai pakaian etnik. Sebuah majlis mewah diadakan setelah pengantin duduk di atas seekor kuda.

Walau tanpa pengantin perempuan, Ajay tetap melalui upacara-upacara seperti perkahwinan biasa.

Sekitar 200 orang, yang merupakan sebahagian daripada perarakan, menari dengan lagu-lagu Gujarati.

Bapa Ajay, Vishnu Barot, ketika bercakap dengan ANI berkata: "Anak saya didiagnosis dengan masalah pembelajaran dan kehilangan ibunya sejak usia muda.

"Dia sering melihat majlis kahwin orang lain dan bertanya kepada kami tentang perkahwinannya. Kami tak dapat jawab soalannya dan tak dapat nak cari pasangan untuk dirinya.

"Selepas bercakap dengan semua ahli keluarga, saya memutuskan untuk mengatur perarakan dan majlis kahwin besar-besaran untuknya supaya dia merasakan majlis kahwin impiannya telah diadakan dan impiannya tercapai.

"Saya sangat gembira kerana dapat penuhi impian anak lelaki saya tanpa fikir apa kata masyarakat."

Ajay mempunyai masalah pembelajaran.

Bapa saudara Ajay, Kamlesh Barot berkata anak saudaranya sangat menyukai muzik dan acara tari-menari akan membuatkan dia tersenyum.

"Dia tak pernah terlepas sebarang majlis perkahwinan di kampung kami. Setelah melihat perkahwinan anak saya pada Februari lalu, Ajay sering bertanya kepada kami tentang perkahwinannya.

"Apabila adik saya beri idea untuk penuhi permintaan anaknya, kami terus sokong dan memutuskan untuk mengadakan juga upacara varghodo (perarakan perkahwinan) seperti perkahwinan biasa, walaupun pengantin perempuan tiada.

"Kami hantar undangan perkahwinan kepada saudara-mara dan melakukan semua ritual mengikut tradisi Gujarati. Apa yang penting bagi kami adalah melihat Ajay gembira pada hari besarnya," tambahnya.

"Abang saya bertuah kerana keluarga menyokong hasratnya dan kami gembira bagi pihaknya, kami sangat sayang dia," kata adik perempuan Ajay. -IndianTimes

kahwin, pengantin perempuan, mewah

Artikel Lain