suria

Misteri tapak parkir pasar raya seperti Segi Tiga Bermuda, pelanggan tak boleh buka, kunci kereta

Pasar raya Lidl. Foto Radosław Drożdżewski/Wikimedia Commons

RAMAI pengunjung di sebuah pasar raya di Gloucestershire, United Kingdom baru-baru dilaporkan mengalami kejadian misteri membabitkan penggera kereta dan sistem kunci berpusat, menyebabkan mereka tidak boleh meninggalkan kawasan parkir.

Kejadian aneh itu berlaku di kawasan parkir di pasar raya Lidl di Kingswood, pinggir bandar Bristol.

Bagaimanapun, tiada yang mengetahui punca kejadian.

Bulan lalu, beberapa media melaporkan pengunjung pasar raya itu tidak dapat mengunci atau membuka kunci kereta mereka atau mematikan sistem penggera.

Susulan kejadian itu, ramai lagi sebenarnya berkongsi pengalaman yang sama di ruangan komen dan media sosial.

Pada mulanya, 'mangsa' fenomena aneh ini beranggapan bateri kunci penggera kereta mereka bermasalah, tetapi ia tetap berlaku selepas menukar bateri baharu.

Ada berpendapat ia mungkin dikaitkan dengan kamera trafik berasaskan Internet yang dipasang di kawasan parkir itu, yang mungkin menyekat sistem, tetapi rangkaian pasar raya itu menafikannya.

Seorang jurucakap Lidl memberitahu The Mirror bahawa kamera berasaskan Internet itu tidak menghantar isyarat yang boleh mengganggu kunci penggera, tetapi mengakui bahawa mereka tidak tahu apa yang menimbulkan masalah di lokasi itu.

"Kita ambil perhatian terhadap perkara yang berlaku, dan kami sedang menyiasat perkara ini bagi mengenal pasti puncanya, dan menyelesaikan situasi buat para pelanggan," ujar jurucakap itu.

Seorang pelanggan berkata, ia seperti Segi Tiga Bermuda.

"Ia aneh. Saya menyangka ada masalah bateri tapi bila anak saya datang dan gantikan dengan yang baharu, ia masih tidak berfungsi," katanya. 

Seorang wanita hamil yang berkunjung ke pasar raya itu bersama anaknya memberitahu, dia terpaksa memasuki keretanya melalui tempat duduk belakang, sebelum dia membuka pintu lain.

"Ia satu pengalaman yang tidak selamat," tambahnya. - odditycentral

Segi Tiga Bermuda

Artikel Lain