suria

'Bapa ajaib' sedar selepas keluarga matikan mesin sokongan hayat

Gambar hiasan. - Islamic Queries

SEORANG bapa empat anak, T. Scott Marr dikejarkan ke Hospital Methodist di Omaha, Amerika Syarikat pada 12 Disember lalu selepas ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di atas katilnya.

Sebaik tiba di hospital, lelaki berusia 61 tahun itu diberikan rawatan insentif dan bantuan mesin sokongan pernafasan.

Para doktor mempercayai Scott diserang strok.

Keadaan kesihatannya juga tidak bertambah baik dan doktor khuatir sekiranya Scott mengalami 'mati otak'.

Dr Rebecca Runge yang merawatnya memberitahu KMTB: "Kami bimbang kerana kes ini bukan satu proses yang boleh diundur dan ia boleh menyebabkan kematian otak.

Ketika itulah, keputusan untuk mematikan mesin sokongan pernafasan dibuat.

Anak perempuannya, Preston menjelaskan: "Ayah selalu berkata, 'ayah tidak mahu kamu semua melihat ayah terbaring di katil hospital, atau di rumah orang tua-tua."

Selepas meninggalkan hospital keesokannya, waris keluarga Scott mula mengatur untuk mengadakan majlis pengebumiannya.

Namun, Scott belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal.

Bekas komentar sukan itu masih bernafas tanpa bantuan mesin sehingga anak-anaknya kembali ke hospital pada 14 Disember.

Preston bercakap dengan Scott seperti yang biasa dilakukannya sebelum ini tanpa menyangka bapanya itu masih hidup.

"Dia tersenyum kepada saya dan saya ingat saya sedang bermimpi. Ia adalah detik yang sukar dipercayai.

Scott mengalami keajaiban apabila dia sedar daripada koma selepas mesin sokongan hayat dimatikan oleh keluarganya. - PA

"Saya minta dia gerakkan ibu jarinya dan dia melakukannya secara perlahan-lahan.

"Saya minta dia gerakkan pula jari kaki dan dia lakukannya juga.

"Saya menggosokkan mata untuk memastikan apa sebenarnya yang sedang berlaku."

Keputusan hospital mendapati Scott tidak mengalami strok, tetapi menderita Sindrom Encephalopathy Posterior Reversible yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi.

Kini, Scott telah dibenarkan keluar hospital dan semakin sembuh dengan bantuan terapi fizikal dan kehadiran anak-anaknya. - Lad Bible

bapa ajaib

Artikel Lain