Ibu palsukan penculikan anak kerana mahu uji cinta suami - Dunia | mStar

Ibu palsukan penculikan anak kerana mahu uji cinta suami

POLIS mendakwa seorang ibu kepada budak lelaki berumur 11 tahun yang hilang di timur China kerana melakukan penipuan, selepas kanak-kanak itu ditemui di rumah saudaranya.

Budak lelaki itu dengan nama keluarga Huang, ditemui selamat dalam keadaan sihat pada lewat petang Selasa lalu.

Menurut kenyataan polis di Yueqing, wilayah Zhejiang pada Rabu, kehilangan mangsa sengaja dirancang.

Menurut polis, ibu kanak-kanak itu, berusia 33 tahun dengan nama keluarga Chen, ditahan kerana disyaki mereka cerita dan menyebarkan maklumat palsu.

Polis berkata, wanita berkenaan yang bertengkar dengan suaminya, telah merancang dan memalsukan kejadian penculikan itu sebagai cara untuk menguji sama ada suaminya benar-benar mengambil berat terhadap dirinya dan anak lelaki mereka.

Siasatan polis mendapati Chen bertemu anak lelakinya selepas sesi persekolahan dan memberitahu supaya menunggu di dalam kereta lain sementara dia membuat laporan palsu kepada polis pada petang Jumaat lalu.

Kes tersebut meraih perhatian negara itu selepas ganjaran AS$72,000 (RM299,726) ditawarkan oleh keluarga tersebut bagi sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa culik.

Menurut kenyataan polis, semasa operasi pencarian dilakukan, kanak-kanak itu bersembunyi di sebuah kampung berhampiran manakala Chen berpura-pura memberi kerjasama kepada pihak polis dan usaha untuk mencari anak lelakinya.

Polis berkata, mereka membawa siasatan tersebut ke peringkat seterusnya dan ia akan dikendalikan mengikut undang-undang. - South China Morning Post


culik

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel