Budak 3 tahun hidap kanser payudara selamat jalani pembedahan - Dunia | mStar

Budak 3 tahun hidap kanser payudara selamat jalani pembedahan

-foto Modern Express

SEORANG budak perempuan berusia tiga tahun berjaya sembuh selepas menjadi pesakit kanser payudara paling muda di dunia.

Pesakit tersebut, yang dikenal pasti oleh media di China sebagai Yanyan adalah rakyat termuda yang diketahui menghidap penyakit kanser payudara karsinoma yang jarang ditemui dalam tempoh 50 tahun lalu, menurut seorang doktor yang merawatnya.

Hospital Rakyat Jiangsu, tempat di mana Yanyan dirawat mengesahkan bahawa seorang budak berusia tiga tahun telah sembuh dari kanser payudara melalui satu posting di laman rasmi Weibonya, pada Selasa.

Sebelum ini, dua pesakit berumur tiga tahun di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menghidap kanser payudara oleh Journal of the American Medical Association dan Journal of Pediatric Surgery.

Kanser payudara karsinoma adalah jenis kanser yang jarang berlaku dan merebak secara perlahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, kebanyakannya wanita.

Karsinoma berlaku pada sel-sel yang menyelaputi organ-organ di dalam badan seperti payudara, perut, usus, ginjal dan paru-paru.

Ia menyumbang kurang dari 0.1 peratus daripada semua kes kanser payudara, menurut anggaran berdasarkan pesakit di AS.

Gambar hiasan. -fotoShutterstock

Yanyan berasal dari wilayah Shandong di timur China.

Menurut sebuah laporan akhbar Cina Modern Express, ibunya telah mendapatkan bantuan perubatan untuk anak perempuannya itu selepas melihat jisim lembut di dada kirinya dan lelehan cecair merah pada bajunya.

Ketika Yanyan mula-mula dibawa ke hospital, wanita diberitahu oleh doktor bahawa gejala-gejala itu mungkin disebabkan oleh akil baligh pada usia muda.

Bimbang dengan keadaan anaknya, dia membawa Yanyan ke hospital berbeza untuk pemeriksaan.

Semasa membuat pemeriksaan di Hospital Rakyat Jiangsu, doktor membuat kesimpulan bahawa Yanyan menderita kanser payudara.

Menurut doktornya, Tang Jinhai, pasukan perubatan menjalankan satu pelan pembedahan yang boleh memelihara sebahagian besar tisu payudara yang sihat.

Prosedur ini amat sukar kerana tisu payudara kecil budak berusia tiga tahun, kata doktor.

Pembedahan berjalan lancar dan tumor dikeluarkan dalam masa satu jam. Pada Isnin, Yanyan dibenarkan keluar dari hospital.

Kanser payudara adalah jenis kanser yang paling umum dalam kalangan wanita di tanah besar China, dengan kira-kira 280,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.

Kanser payudara karsinoma mempunyai kadar survival lebih dari 90 peratus, menurut analisis berdasarkan 83 pesakit warga Amerika.

Kadar survival kanser payudara secara amnya adalah sekitar antara 80 peratus di negara maju hingga sekitar 60 peratus di negara berpendapatan sederhana dan bawah 40 peratus di negara berpendapatan rendah.

Pada tahun 2013, usia puncak pesakit didiagnosis kanser payudara di China adalah 55 hingga 59 tahun, menurut kajian oleh Pejabat Kebangsaan Cina untuk Kawalan dan Pencegahan Kanser. -Inkstone

kanser payudara , kanser karsinoma

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki

Mas Ermieyati sertai Bersatu